“Pintu Taubat”. Pernahkah anda menonton sebuah siri drama di
televisyen berbayar yang menyiarkan kisah seorang manusia yang lalai
dengan pelukan duniawi dan akhirnya tidak sempat untuk bertaubat atas
segala kesalahannya terhadap Maha Pencipta?
Rasa
kesal dan sesal tidak lagi berguna jika nyawa betul-betul dihujung
tanduk. Apa yang mereka boleh lakukan? Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud;
“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani)
Gerun
bukan? Cuba letakkan diri kita di saat nyawa betul-betul dihujung
halkum kita. Tidak terkata dan terbayang dengan apa-apa yang akan
berlaku. Saat mati itu adalah rahsia dari Allah, tiada siapa di atas
muka bumi ini yang mengetahui saat bila kita akan dipanggil oleh nya
hatta seorang ibu yang melahirkan dan menyusukan kita serta membesarkan
kita pun tidak dapat meneka saat ajal itu tiba. Mati itu tiada
diskriminasi, mahupun dia adalah seorang raja, hartawan, papa kedana,
alim, penjenayah pasti akan merasai saat kematian.
Dalam firman Allah SWT mengingatkan kita bahawa;
“Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Khiamat.”
(Surah Ali ‘Imran ayat 185)
(Surah Ali ‘Imran ayat 185)
Jika
berbicara mengenai taubat, secara automatik kita akan menyentuh sedikit
perihal hidup dan mati. Mereka bertiga seolah-olah mempunyai link yang tersendiri dan unik untuk dikupas. Pasti pernah kita terfikir,
“Bagaimana jika aku mati dalam keadaan tidak sempat untuk bertaubat dari segala dosa-dosa aku yang lampau?”
“Adakah aku akan mati dengan tenang jika dosa-dosa lalu ibarat menghambat aku sendiri di kari akhirat kelak?
“Dan bilakah waktu Malaikat Izrail itu akan datang untuk mencabut nyawa ku?”
Meremang seketika bulu roma apabila nama Malaikat Izrail disebut. Ibarat ia dekat dan sedang memperhatikan kita. Subhanallah.
Saya
punya satu kisah yang boleh diambil iktibar dan pengajaran. Dan cerita
ini merupakan sumber inspirasi saya untuk terus menulis artikel ini.
Kisah ini bermula dengan seorang pelajar universiti yang biasa sahaja.
Tahun pertama, dialah Imam pertama saya ketika saya ingin mengerjakan
solat Zohor di surau asrama. Gaya, penampilan dan tutur kata tidak
banyak berbeza dengan pelajar lain.
Penampilannya tampak seperti
orang Bandar mungkin Kuala Lumpur, Johor Baharu atau Penang. Selepas
beberapa semester, dia sudah tidak kelihatan di surau itu lagi. Dan
akhirnya saya terserempak dengannya ketika kuliah tamat. Rambutnya
kelihatan perang dan nampak lebih bergaya. Saya mula untuk menilai yang
dia bukanlah seorang yang betul-betul mendalami ajaran Islam. Dan kini,
solat maghrib di surau yang sama, dialah Imam yang mengetuai Jemaah
dalam solat tersebut. Dia kembali kepada fitrah yang dulu saya pernah
jumpa. Saya gembira dan dari situ, saya fikir jika dia boleh berubah
kepada yang lebih baik, kenapa tidak saya? kita?
Pintu taubat
Allah sentiasa terbuka untuk kita sebagai umatnya. Jangan kita sesekali
berputus asa dengan Rahmat dari Allah yang menciptakan kita. Firman
Allah dalam Surah az-Zumar ayat ke 53,
“Katakanlah:
“Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka
sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus
asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala
dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.”
Itulah yang saya ingin sampaikan
bahawa Pintu Taubat Allah sentiasa terbuka luas untuk hambanya. Ayat
diatas tiada sebarang syak wasangka dan keraguan untuk kita terus
istiqamah memohon ampun dariNya dan meninggalkan segala kemungkaran yang
telah kita lakukan. Dialah jua Yang Maha pengampun lagi Maha
Mengasihani.
Tertarik saya dengan satu perkara yang membezakan
kita (umat Nabi Muhammad) dengan umat-umat nabi terdahulu. Disebutkan
bahawa Nabii Adam A.S telah berkata,
“Sesungguhnya Allah S.W.T telah memberikan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W empat kemuliaan yang tidak akan diberikan kepadaku:
1. Taubatku hanya diterima di Kota Mekah, sementara taubat umat Nabi Muhammad SAW diterima disebarang tempat oleh Allah SWT
2. Pada mulanya aku berpakaian, tetapi apabila aku berbuat derhaka kepada Allah SWT, maka Allah S.W.T telah menjadikan aku telanjang. Umat Nabi Muhammas SAW membuat derhaka dengan telanjang, tetapi Allah SWT memberikan mereka pakaian.
3. Ketika aku berbuat derhaka kepadaNya, maka Allah SWT telah memisahkan aku dengan isteriku. Tetapi umat Nabi Muhammad SAW berbuat derhaka, Allah SWT tidak memisahkan mereka.
4. Memang benar aku telah derhaka kepada Allah S.W.T dalam syurga dan aku dikeluarkan dari syurga, tetapi umat Nabi Muhammad SAW derhaka kepada Allah akan dimasukkan ke dalam syurga apabila mereka bertaubat kepada Allah S.A.W.”
Hanya syukur
yang dapat kita luahkan betapa kasihnya Allah SWT terhadap kita sebagai
umat Nabi Muhammad SAW . Namun sayang, masih lagi ada manusia yang celik
tetapi hakikatnya mereka buta. Hati mereka buta untuk melihat kasih
sayang dari Allah SWT itu.
Berbalik kepada cerita saya tadi, dia
sangat beruntung kerana telah dibukakan hati nya untuk bertaubat dan
kembali ke jalan yang benar. Kisahnya perlu diambil pengajaran kepada
diri saya sendiri untuk teurs istiqamah dalam melawan segala godaan
syaitan dan hawa nafsu.
Kita manusia biasa yang sering kali
melakukan kesilapan dan kesalahan. Jika kita seorang yang peka dan
mengetahui akan segala kesalahan yang dilakukan itu adalah salah dan
melawan tuntutan dari Allah. Alhamdulilah, kita punya peluang untuk
berubah kepada yang lebih baik. Kini ramai remaja mahupun dewasa
sebenarnya hilang arah hidup mereka dan tidak pernah ingat akan tuntutan
Allah dan laranganNya kepada kita. Mereka terus berbuat dosa dan
kemungkaran. Dimana iman yang senipis kulit bawang ketika itu? Adakah
terus lesap dan menghilang begitu sahaja?
Sebagai
kata penutup, saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri terlebih
dahulu dan pembaca sekalian agar kita sentiasa ingat bahawa dosa yang
kita lakukan merupakan saham kita yang akan dibawa ke sana. Ia sama juga
dengan segala kebaikan dan pahala kita akan turut dibawa ke sana.
Bagaimana jika timbangan amalan dosa/buruk melebihi daripada amalan
baik/pahala? Pada saat itu, rayuan untuk kembali ke dunia tidak akan
dilayan sama sekali.
Justeru sebelum terlambat, bersegeralah kita
untuk memohon ampun dan bertaubat dengan segala dosa, kemungkaran dan
kelalaian kita yang lalu supaya Allah dapat mengampunnya sebelum
hembusan nafas kita yang terakhir. Renungkanlah sepotong ayat Al-Quran,
Surah Ali-’Imran ayat 135-136 untuk kita muhasabah dan hayati.
“Dan
mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri
sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka –
dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah
-, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah
lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari
Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik
balasan (bagi) mereka yang beramal”
Wallah Anta A’lam
0 comments:
Post a Comment