Aktiviti usrah ialah suatu aktiviti yang
membahagikan ahli kepada beberapa kumpulan. Dalam setiap kumpulan tadi akan
dipimpin oleh seorang naqib atau naqibah yang berperanan sebagai fasilitator.
Pada setiap kali perjumpaan, naqib atau naqibah akan mengutarakan beberapa isu
yang terpilih untuk dibincangkan. Melalui aktiviti ini, ia mampu meningkatkan
ilmu pengetahuan ahli serta mewujudkan hubungan silaturahim yang utuh sesama
ahli usrah. Di samping itu, ahli boleh meningkatkan kemahiran sosial dan
komunikasi mereka.
Kata-kata
Imam A-Bana, Islam amat menitik beratkan
pembentukan usrah di kalangan ahli-ahlinya dan mengarahkan mereka supaya
menjadi model dan contoh terunggul, menguatkan ikatan mereka dan mengangkat
tahap persaudaraan mereka dari perkataan dan teori kepada perbuatan dan
praktikal.
Usrah disusun bermatlamat menghampirkan diri kepada
Allah, merapatkan ukhuwah Islamiah, memelihara dan menghubungkan diri sesama
manusia dan alam, mendalami fardu ain, meluaskan fahaman terhadap Islam,
memberi galakan serta bimbingan dalam ibadah kepada ahli usrah, meledakkan
potensi diri yang sebenar, merawat unsur negatif diri, menanam rasa bangga terhadap
Islam, melaksanakan intima’ dan wala’ kepada organisasi, mengkaji dan merawat
halangan individu beramal, mendalami ilmu fiqh dakwah serta meningkatkan
penguasaan organisasi luar dan dalam. Prinsip-prinsipnya adalah berdasarkan
kepada Al-Quran dan Al-Hadis dan yang digariskan oleh ulama melalui ijmak dan
qias.
Secara jelas, usrah dapat memupuk
semangat Islam di kalangan ahli yang menyertai. Banyak pendedahan yang dibuat
dalam perbincangan usrah antaranya bacaan Al-Quran, tafsir, fiqh, akidah,
isu-isu semasa dan banyak lagi. hubungan silaturahim di kalangan ahli menjadi
lebih erat dan mampu meningkatkan keberanian ahli dalam menyampaikan pendapat
dan berhujah di depan ahli yang lain.
Kaedah ini sangat baik dilaksanakan
kepada semua golongan, kerana dengan pendekatan ini mampu memberikan informasi
dan input yang berguna kepada mereka. Kemudian dapat mendekatkan diri mereka
dengan cara hidup Islam dan menghapuskan sedikit-sedikit kekotoran dosa yang
ada di dalam diri mereka. Untuk melaksanakan usrah, tidak semestinya di masjid,
surau, kelas atau tempat-tempat yang tertentu. Boleh dilakukan di mana sahaja,
sama ada di kedai makan, tempat peranginan, dalam kereta atau sambil-sambil
bersantai. Apa-apa pun naqib hendaklah berhikmah dan bijak memilih tempat dan topik
yang menarik untuk dibincangkan. Hal ini mampu meningkatkan minat dan suasana
yang seronok di kalangan ahli usrah.
Bagi menyempurnakan dan menjayakan
pelaksanaan usrah, maka hendaklah mematuhi tiga rukunnya yang telah ditetapkan seperti :
Taaruf
- Ia merupakan rukun pertama dan terpenting. Tanpanya tidak akan terhasil dua rukun selepasnya.
- Dengan taaruf inilah akan lahir perasaan kasih sayang dan merasai ukhuwah Islamiah yang sebenarnya. Ahli-ahli akan berusaha menghilangkan perkara yang boleh membawa kekeruhan dalam perhubungan
- Antara contoh taaruf ialah setiap ahli perlu tahu ahli seusrah tentang nama, tempat tinggal, pekerjaan, berkenalan dengan ahli keluarganya, bapanya, adik-beradiknya, tahu realiti sosialnya dan lain-lain lagi.
- Generasi sahabat adalah contoh unggul dalam mempraktikkan makna taaruf di dalam masyarakat yang dibentuk oleh Rasulullah SAW.
Tafahum
- Rukun kedua pula ialah tafahum (saling faham memahami). Rukun faham ini bertujuan agar setiap ahli sentiasa istiqamah atas manhaj kebenaran dan melaksanakan apa yang diperintahkan Allah dan meninggalkan larangannya.
- Mereka saling bermuhasabah atas ketaatan dan maksiat, saling memberi nasihat jika melihat kekurangan yang ada pada ahli mereka. Setiap ahli bersedia memberi nasihat pada ahli yang lain manakala ahli itu pula bersedia menerima nasihat tersebut.
- Jika ahli itu tidak mampu merubah ahli yang lain dengan nasihat, hendaklah ia menggunakan saluran murabbi. Murabbi akan membantu untuk menyelesaikan dan membaiki kelemahan ahli tadi.
- Nasihat tadi diberikan dengan penuh lembut, pandangan kasih sayang. Ahli yang menerima nasihat tersebut, sentiasa bersikap terbuka dan berlapang dada, tidak membalas dengan kata-kata yang kasar, berubah persepsi pada ahli sehalaqah. Ini kerana kasih sayang kerana Allah adalah setinggi martabat dan nasihat adalah sebahagian dari rukunnya. Peringkat paling rendah salamatus sadr (sejahtera hati) dan paling tinggi ithar (mengutamakan ahli lain dari dirinya).
- Perkara yang kedua untuk membina tafahum ialah sikap saling taghafur (mendoakan keampunan) pada ahli seusrah. Sentiasa kita mendoakan kesejahteraan dan keampunan buat ahli seusrah agar sentiasa dalam momentum dakwah dan perjuangan.
Takaful
- Takaful pula bermaksud setiap ahli perlu memikul beban ahli yang lain sebagai bukti ketinggian iman dan keluhuran ukhuwah.
- Setiap ahli hendaklah saling berjanji setia untuk melakukan kebaikan, prihatin, segera membantu jika ada kesulitan yang menimpa ahli lain.
- Serendah-rendah takaful ialah memberi bantuan apabila diminta, paling sederhana ialah membantu dengan kadar hajat yang diperlukan dan takaful yang paling tinggi ialah memberi bantuan walaupun tanpa diminta.
- Setiap ahli dapat membantu dan dimanfaatkan oleh ahli yang lain. Sebaik-baik pekerjaan dan amalan adalah membantu orang lain.
Kesimpulan
Usrah
adalah satu kaedah yang sangat penting untuk menerapkan nilai-nilai
Islam kepada setiap ahli yang menyertai usrah. Pendekatan usrah ini juga
sangat efektif kerana bilangan ahli dalam usrah tidak ramai hanya
sekitar beberapa orang sahaja. setiap perbincangan dan isu boleh
difokuskan kepada semua ahli usrah. Dalam usrah juga mengajar
ahli-ahlinya tentang ikatan persaudaraan sesama Islam. sekiranya ada
ahli usrah yang bermasalah ahli-ahli yang lain berusaha untuk
membantunya keluar dari masalah tersebut. kemampuan peribadi juga dapat
digarapkan dalam aktiviti dakwah, kerana dalam program usrah setiap ahli
digalakkan mengeluarkan pendapat dan hujah berdasarkan isu atau topik
yang dibincangkan. secara mudahnya pendekatan ini dinamakan pendekatan
komunikasi langsung dua hala.
0 comments:
Post a Comment