Pernahkah anda mengalami stress yang melampau? Mungkin ada
antara kita yang pernah terfikir untuk melakukan perkara yang
bukan-bukan seperti membunuh diri dan mencederakan diri sendiri ketika
menghadapi tekanan yang melampau.
Ada juga yang gemar menjerit terpekik terlolong ketika stress menyelubungi diri.
Syeikh
al-’Arifi, seorang penulis buku Arab yang terkenal menceritakan kisah
beliau tatkala beliau berkunjung ke Madinah al-Munawwarah untuk
menziarahi sahabatnya Khalid. Dalam pertemuan itu, Khalid mengajak
beliau untuk menziarahi sahabat mereka berdua, Dr. ‘Abdullah. Dr.
‘Abdullah merupakan seorang cendekiawan yang terkenal dengan akhlak yang
mulia dan beliau sentiasa tersenyum.
Kisah Dr. ‘Abdullah ini cukup menyayat hati. Beliau diuji dengan dugaan yang sangat kuat oleh Allah S.W.T.
Suatu
hari, anak lelaki sulung beliau membawa semua ahli keluarganya ke satu
kenduri perkahwinan tidak jauh dari rumah mereka. Hanya Dr. ‘Abdullah
yang tidak ikut serta ekoran tuntutan kerjaya beliau di universiti.
Siapa sangka itulah kali terakhir beliau hidup bersama mereka. Dalam
perjalanan pulang, kereta yang dipandu anak sulungnya kemalangan dan
mengorbankan keseluruhan ahli keluarganya, kesemua 11 orang!
Walaupun
Dr. ‘Abdullah selalu bersabar apabila menghadapi pelbagai ujian, tetapi
beliau tetap seorang manusia biasa. Beliau tetap punya hati dan
perasaan dan mata yang bisa menangis. Dia juga mempunyai jiwa yang
kadangkala gembira dan kadangkala sedih.
Sungguhpun berita itu
sangat merapuhkan hati, beliau tetap menyembahyangkan jenazah dan
mengebumikan mereka dengan tangannya sendiri. Setelah selesai
pengebumian, Dr. ‘Abdullah pulang ke rumahnya yang pernah dihuni oleh
anak-anak dan isteri beliau. Dengan hati yang masih terluka, beliau mula
menjelajah ke segenap pelusuk rumah. Sunyi, sangat sunyi. Tidak seperti
sebelumnya.
Beliau memandang mainan yang terbiar di atas lantai.
Tiada lagi Khulud dan Sarah yang riang bermain dan kadang-kadang berebut
permainan sampai bertelingkah kecil. Sungguh girang hati-hati suci itu!
Beliau
menjenguk kamar tidur beliau dan isterinya. Matanya tertancap pada
katil yang tidak dikemas kerana tiada lagi Ummu Salih, isterinya yang
dicintai sepenuh hati yang setiap pagi akan mengemas katil mereka berdua
tanpa bersungut.
Basikal Yassir sepi sendirian tersandar pada
dinding rumah. Tiada lagi pemuda mulia itu yang setiap petang akan
menunggangnya ke pekan.
Beliau masuk ke kamar anak gadis sunti
beliau yang sudah merancang untuk berkahwin dengan pemuda soleh
pilihannya sendiri tidak lama lagi. Pakaian pernikahannya masih elok
tersusun tidak terusik apatah lagi dipakai.
Masya-Allah. Kamu menghadap-Nya di saat-saat pernikahanmu semakin hampir!
Alangkah
hebatnya seorang hamba Allah redha akan ketetapan Tuhannya. Sesiapa
sahaja yang melihat beliau ketika mendapat ucapan takziah daripada orang
ramai akan pelik. Kerana seolah-olah yang meninggal itu bukan sesiapa
baginya. Malah beliau yang sebaliknya menasihatkan tetamu yang datang
dengan tazkirah ringkas beliau.
Beliau sentiasa mengulang, “Dari
Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali. Segala yang Allah
kurniakan, itu kepunyaan-Nya. Segalanya telah Allah tetapkan.”
Bayangkan
jika beliau tidak redha dan bersungut atas kehilangan mereka. Lama
kelamaan, beliau akan mati kerana kesedihan yang melampau. Kerja tidak
akan menjadi. Hidup tidak dapat diteruskan dengan sempurna.
Benar
sahabatku! Jangan kamu cuba untuk bunuh diri dan janganlah setiap kali
kamu berbual dengan orang ramai, kamu mula bersungut terhadap dugaan
Allah sampaikan orang lain mulai jemu dengan kerenahmu.
Contohnya
apabila seorang isteri kerap sekali mengadu kepada suaminya, “Bang,
rumah ni dah lama sangat dah.. Bang, kereta buruk tu dah selalu sangat
masuk bengkel.. Bang, baju ayang dah out of fashion..”
Sudah
tentu lama-kelamaan si suami akan menjadi bosan dengan sikap isterinya
itu dan tidak mustahil andainya si suami tersebut mula mencari-cari
bakal isteri baru.
Adalah lebih elok kalau kita terima segalanya
seadanya. Tidak guna mencemuh mengatakan itu begitu, ini begini, yang
itu begitu, yang ini begini.
Ingatlah wahai diri dan sahabat,
dugaan itu tidak merupa dalam bentuk kesusahan sahaja, malah kesenangan
yang ada sekarang juga adalah dugaan. Dugaan yang diciptakan
untuk menguji hamba-Nya yang bersyukur dan hamba-Nya yang kufur.
Wallahu’alam.
0 comments:
Post a Comment