
“Kembalikan
kepada Allah dan rasul” yang dinyatakan oleh-Nya dalam ayat tersebut
jelas merujuk kepada al-Quran dan sunnah. Justeru, tidak dapat tidak,
manusia tidak hanya perlu bergantung kepada kitab Allah, tetapi juga
sunnah Rasulullah yang mempunyai pengaruh amat besar dalam perluasan
pembinaan hukum Islam.
PENGERTIAN SUNNAH
As
sunnah mempunyai pelbagai pengertian yang dilihat berdasarkan kaca mata
banyak pihak. Walau bagaimanapun, setiap definisi yang diberikan
kelihatan tidak banyak bezanya antara satu sama lain.
Dalam buku
berjudul Pedoman Muslim terjemahan daripada Minhaajush Shaalihin, ahli
hadis melihat sunnah sebagai sesuatu peninggalan Rasulullah sama ada
dalam bentuk perkataan, ketetapan mahupun sifat-sifat jasmani atau budi
pekerti serta sejarah hidup – sebelum dan sesudah kenabian baginda
diangkat Allah.
Sementara bagi ahli usul, as sunnah merupakan
sesuatu yg dinukilkan daripada Nabi Muhammad. Ini boleh jadi membabitkan
perkataan, perbuatan mahupun ketetapan. Contoh yang melibatkan
perkataan ialah sesuatu yang disabdakan oleh baginda dalam pelbagai
bentuk yang berhubung dengan pembinaan hukum. Perbuatan pula adalah
seperti perlakuan Rasulullah dalam urusan ibadah seperti solat.
Menurut
istilah fikah, as sunnah merupakan sesuatu yang tetap (sah) daripada
baginda. Ia bukan fardu dan tidak wajib. Menurut sebahagian daripada
ahli fukaha, sunnah adalah mutlak atas sesuatu yang berlawanan dengan
bidaah.
PERANAN SUNNAH DALAM KEHIDUPAN
Sebagai
hamba Allah, al-Quran wajib dijadikan panduan hidup. Begitulah juga
keadaannya dengan sunnah. Abu Abdillah Hakim mentakhrijkan daripada Ibnu
Abbas, bahawasanya Rasulullah bersabda :
“Sesungguhnya
syaitan telah putus asa untuk menjadi sembahan di bumimu, tetapi ia
senang untuk ditaati selain disembah daripada perbuatan-perbuatanmu yang
merendahkan kamu, maka berhati-hatilah. Sesungguhnya aku telah
meninggalkan kepadamu selama kamu bepegangan dengannya maka kamu tidak
akan sesat selamanya iaitu kitabullah (al-Quran) dan sunnah nabi-Nya.”
Hadis
merupakan sunnah Rasulullah. Dalam Islam, ia termasuk dalam dalil bagi
menentukan hukum serta peraturan agama selain al-Quran. Ia terbahagi
kepada dua bahagian. Yang pertama berperanan penting dalam menjelaskan
maksud al-Quran. Sementara yang kedua pula menghuraikan hukum-hukum yang
tidak dinyatakan oleh Allah dalam kitab-Nya.
Ini sesuai dengan dua firman Allah dalam surah An Nahl ayat 44 yang bermaksud :
“Kami turunkan kepadamu (Muhammad) akan Quran supaya engkau jelaskan kepada manusia apa yang diturunkan (Quran) kepada mereka.”
Dan surah An Nissa’ ayat 59 yang bermaksud:
“Hai orang beriman! Ikut olehmu akan perintah Allah dan ikut olehmu akan perintah rasul.“
Walau
bagaimanapun, agak menyedihkan apabila tidak semua semua daripada
sunnah baginda dilaksanakan dalam kehidupan kita. Dan tambah menyayat
hati apabila wujud segelintir pihak yang memesongkan sunnah Rasulullah
dengan memutar belitkan hadis.
PERINGKAT HADIS
Terdapat beberapa peringkat hadis iaitu sahih, hasan dan daif.
Hadis
sahih merupakan hadis yang sanadnya bersambung dengan riwayat orang
adil yang memiliki ingatan kuat (dhabith). Selain itu, hadis tersebut
turut selamat daripada unsur-unsur penyimpangan dan illat (penyakit).
Hadis sahih tidak terkumpul secara mutlak dalam satu kitab hadis.
Bagi hadis hasan pula, perawinya ringan iaitu tidak kukuh hafalannya berbanding hafalan orang yang dhabith.
Sementara
hadis daif adalah hadis yang tidak melengkapi syarat-syarat hadis sahih
dan hasan. Terdapat tiga jenis hadis daif iaitu daif (lemah), amat daif
(sangat lemah) dan hadis maudhu’ (palsu).
SUNNAH SEBAGAI SUATU HIKMAH
Sunnah Rasulullah amat istimewa kerana ia merupakan suatu hikmah.
Allah berfirman dalam kitabnya yang bermaksud :
“Sesungguhnya
Allah telah memberikan kurnia bagi orang-orang yang beriman, ketika dia
telah mengutuskan seorang rasul kepada mereka antara mereka sendiri
yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka dan membersihkan mereka
(dari sifat-sifat yang jahat) lagi mengajarkan kitab dan hikmah kepada
mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu dalam kesesatan yang nyata.” (Ali Imran:164)
Berdasarkan
ayat tersebut, kebanyakan ulama dan penyelidik berpendapat, hikmah yang
dimaksudkan ialah sesuatu yang diperlihatkan oleh Allah kepada baginda
daripada rahsia agama dan hukum syariat-Nya. Mereka memanggilnya
sebagai sunnah.
Justeru, selaku umat Muhammad, Muslim hari ini
tidak wajar mensia-siakan sunnah peninggalan baginda. Mengabaikannya
tidak lebih daripada suatu kerugian.
0 comments:
Post a Comment