
Solat adalah ibadah yang difardukan Allah SWT kepada setiap Muslim
dalam waktu tertentu. Ini bermaksud solat tidak sah dan tidak diterima
jika dilakukan di luar waktunya. Ini sesuai dengan firman Allah SWT
dalam surah an-Nisa’ 103:
“Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang wajib atas orang-orang yang beriman yang tertentu waktunya”.
Jelas daripada ayat di atas kewajipan solat adalah dalam waktu
tertentu. Jika diteliti lebih dalam lagi semua solat sama ada solat
fardu atau solat sunat mempunyai waktu tertentu. Tidak ada persoalan
solat pada awal waktu dan memang digalakkan untuk solat pada awal waktu
tetapi persoalannya bagaimana solat pada akhir waktu. Apakah diterima
dan diberi pahala?
Setiap waktu solat mempunyai waktu mula dan waktu tamat. Telah sabit
kenyataan dalam beberapa hadis yang sahih bahawa Jibril telah datang
bertemu Nabi s.a.w selepas solat lima waktu difardukan untuk memberitahu
waktu-waktunya serta menetapkan waktu bermula dan waktu akhir setiap
solat. Waktu solat itu telah diterangkan oleh Nabi s.a.w kepada umat
Islam melalui perkataan dan perbuatan Nabi s.a.w.
Sabda Nabi s.a.w : Yang bermaksud, daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA,
daripada Nabi s.a.w, Baginda telah ditemui oleh seorang yang bertanya
tentang waktu-waktu solat. Tetapi Baginda tidak menjawabnya. Manakala
dalam riwayat yang lain pula Baginda bersabda, “Bersolatlah bersama-sama kami”.
Lalu baginda menunaikan solat Subuh ketika fajar terbit sedangkan
penglihatan orang ramai masih belum dapat mengenali antara satu sama
lain. Kemudian Baginda menyuruhnya lagi bersolat Zuhur ketika matahari
gelincir. Ada yang berkata, ketika itu waktu tengah hari sedangkan
Baginda lebih mengetahuinya daripada mereka.
Seterusnya Baginda menyuruh mereka bersama-sama Baginda menunaikan
solat Asar ketika matahari masih tinggi. Kemudian disuruhnya lagi, lalu
Baginda menunaikan solat Maghrib yang pada ketika itu matahari telah
terbenam. Kemudian Baginda menyuruhnya lagi, maka ditunaikan pula solat
Isyak ketika syafak hilang daripada penglihatan.
Pada keesokan harinya, Baginda telah melewatkan solat Subuh sehingga
ada yang mengatakan selepas solat tersebut, matahari telah terbit atau
hampir terbit. Kemudian Baginda melewatkan solat Zuhur hingga hampir ke
waktu Asar sebagaimana semalam. Kemudian Baginda melewatkan solat Asar
sehingga ada yang mengatakan selepas solat tersebut, warna matahari
kemerah-merahan.
Seterusnya Baginda melewatkan pula solat Maghrib, hingga syafak hampir
tidak kelihatan lagi. Kemudian Baginda melewatkan solat Isyak sehingga
lewat tengah malam. Apabila menjelang pagi, Baginda memanggil orang
tersebut lalu bersabda, “Waktu solat ialah di antara dua masa ini”.
Terdapat juga beberapa hadis yang menerangkan sebahagian perkara yang
umum atau yang menambah penerangannya sebagaimana yang dapat dilihat
dalam perincian waktu-waktu setiap solat seperti yang berikut:
Apabila Nabi s.a.w berkata “Waktu solat ialah di antara dua masa ini”
ia menunjukkan bahawa solat di antara dua waktu itu diterima oleh Allah
SWT dan diberikan pahala. Cuma solat pada awal waktu amat digalakkan
daripada solat pada akhir waktu.
Jangan sengaja lengahkan solat
Tidak patut seseorang Muslim sengaja melengah-lengahkannya hingga ke
akhir waktu dengan alasan tempohnya panjang. Ini kerana perbuatan
tersebut mungkin menyebabkan waktunya terluput malah sikap cuai ini
mungkin menyebabkan solat terus tertinggal. Sebenarnya semua solat,
sunat disegerakan pada awal waktunya. Ketika ditanya tentang amalan yang
afdal Nabi s.a.w bersabda:
Yang bermaksud : “Menunaikan solat pada awal waktunya.”
Seseorang yang melakukan sebahagian solatnya dalam waktu dan sebahagian
yang lainnya di luar waktu jika dapat menyempurnakan satu rakaat dalam
waktunya maka keseluruhan solat tersebut dikira qada’.
Hal ini berdasarkan hadis : Yang bermaksud : “daripada Abu Hurairah
r.a Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang dapat melakukan satu
rakaat solat Subuh sebelum matahari terbit maka dia telah dapat
menunaikan solat Subuh itu dan sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat
solat Asar sebelum matahari terbenam maka dia telah dapat menunaikan
solat Asar itu. Dan sabdanya lagi, sesiapa yang dapat melakukan satu
rakaat solat dalam waktunya maka dia telah dapat menunaikan solat itu.”
0 comments:
Post a Comment