< 1 >
< 2 >
< 3 >
< 4 >

Tuesday, March 25, 2014

Jauhi Malu Untuk Berubah

“Aku dah tak suci lagi. Aku banyak dosa. Terlanjur dah dengan beberapa orang lelaki. Zina tu dulu perkara biasa bagi aku sebab aku couple bukan dengan seorang lelaki je. Tapi sekarang aku menyesal. Aku rasa aku teruk sangat! Aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Aku selamanya tak akan jadi baik. Dosa-dosa lalu terus menghantui hidup aku. Aku rasa diri ini jijik dan teramat kotor,”

“Aku ini nak kata budak jahat, tak adalah jahat sangat cuma nakal tu adalah sikit-sikit. Itu mungkin kerana terikut perangai kawan-kawan. Mengusik dan menyakat orang kerja biasa. Tapi sebenarnya jauh di sudut hati aku, aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Nanti apa yang kawan-kawan aku kata. Aku dah pernah sekali ajak mereka solat berjemaah dan pergi dengar ceramah tapi aku dipandang pelik. Aku rasa susah sangat. Aku terhimpit,”

“Aku solat cukup lima waktu sehari. Puasa pun Alhamdulillah. Nak kata bab tutup aurat, aku lepaslah agaknya. Tapi aku rasa aku ini tak cukup baik. Bila aku tengok kawan-kawan yang berubah, bila aku tengok kawan-kawan yang pakai tudung labuh dan berbaju kurung, aku rasa aku ini tak baik. Aku nak berubah tapi aku malu. Aku rasa susah. Aku rasa tak sanggup nak tinggalkan dunia cardigan, jeans, shawl dan pashmina,”

Iman Itu Masih Ada

Tatkala hati terkesan dengan perbuatan dosa yang dilakukan, itu bukti tandanya iman masih ada. Penyesalan itu salah satu daripada peringkat taubat.

Fitrah manusia suka akan kebaikan. Sebenarnya melakukan kebaikan lebih mudah daripada melakukan maksiat. Tak percaya?

Mana lebih senang. Pergi konsert atau pergi masjid? Kalau pergi konsert, perlu keluarkan duit untuk membeli tiket dan bersesak-sesak dengan orang ramai. Faedah? Belum tentu. Kalau pergi masjid, langkahan kaki pun sudah dikira. Tidak perlu keluarkan modal. Malah makin dicintai Allah. Asal niat betul.

Mana lebih senang. Bersedekah atau mencuri? Kalau bersedekah, hanya keluarkan duit. Zahirnya berkurang sedangkan hakikatnya semakin meningkat saham di sana. Kalau mencuri, hati gelisah dan tidak tenteram. Hidup dalam ketakutan. Tidak bahagia.

Selagi dunia tidak kiamat, selagi itu peluang masih ada. Kenapa harus memandang dosa yang lalu sedangkan kita masih punya waktu?

Pandangan manusia. Cuba jadi tegas! Manusia kalau kita buat baik, ada orang tidak suka. Kalau kita buat jahat apatah lagi, mesti ramai juga yang tidak suka. Jadi, buat hanya apa yang Allah suka walaupun manusia tidak suka. Pegang prinsip itu! Kerana kita bukan hamba manusia, kita hamba Dia! Ini bukan marah tetapi tegas dan semangat!.

Cipta Masa Depan

Kita selamanya tidak akan pernah tahu apa yang bakal terjadi pada masa hadapan. Tetapi kita boleh mengubahnya mulai hari sekarang. Apa yang kita buat hari ini, itulah yang bakal terjadi pada hari esok. Yang penting, tanya pada diri, jika ingin melakukan kebaikan, di manakah usaha? Begitu juga dengan soal rezeki dan jodoh.

‘Qada muallaq’ iaitu ketentuan Allah yang tercatat di lauhul mahfuz dan kita boleh mengubahnya. Tetapi itu semua bergantung kepada sejauh mana usaha dan doa.

Mari saya datangkan satu analogi. Katakan Ahmad seorang pelajar yang bermasalah, malas belajar dan menghisap rokok. Tiba suatu ketika, terdetik penyesalan di hatinya. Dan ketahuilah, saat itu, dia punya dua peluang. Peluang ke arah kebaikan atau sebaliknya. Terhimpit antara dua lorong.

Lorong pertama, memilih untuk rajin belajar dan meninggalkan tabiat menghisap rokok. Lorong kedua, masih tetap dengan perangai dan tabiat lama.

Apakah mungkin jika dia masih berada di lorong kedua, pada masa hadapan nanti dia bakal menjadi seorang graduan universiti yang punya sahsiah mulia dan cemerlang? Sudah tentu tidak! Tetapi sebaliknya yang berlaku jika lorong pertama yang menjadi pilihan.

Ini yang saya maksudkan. Bukan mahu menjadi ahli nujum. Cuma mengajak untuk bersama membina masa hadapan. Mencipta jalan cerita sendiri.

Kita umpama pelakon di pentas dunia. Kita punya kuasa untuk mengarah jalan drama sendiri. Dan yang pasti hanya ada dua pilihan yang terbentang. Satu lorong yang dipilih, akan membawa kepada lorong yang lain. Jika lorong kebaikan dan perubahan yang dipilih, pasti kesudahannya juga begitu. Begitu juga sebaliknya. Inilah ‘sunnatullah’.

Buat Dirimu…

Sahabatku, usah biarkan keterlanjuranmu menjadi sejarah hitam yang terus mencalit debu kehitaman walau hingga ketika ini. Itu semua sejarah dahulu dan ketahuilah hari ini juga bakal menjadi sejarah. Tetapi bezanya sejarah dahulu itu menjadi suatu pengajaran yang besar buat diri. Dan sejarah yang bakal ditelusuri ini, ketahuilah, dirimu masih punya waktu. Usah persiakannya!

Juga buat diri yang rindu akan kebaikan. Apakah saat Allah mendatangkan penyesalan di hatimu, engkau mahu melepaskan peluang ini? Apakah pada saat Allah membuka jalan taubat buatmu, engkau memilih untuk semakin menjauh daripada-Nya walaupun tanpa kerelaan hanya kerana malu dengan manusia sekeliling? Atau merasa diri itu terlalu kotor dan tidak layak untuk diampunkan?

Ketahuilah Dia Maha Pengampun. Usah pedulikan pandangan orang lain, tetapi dongaklah ke atas, dan ketahuilah Dia menunggumu untuk sujud kepada-Nya bersama air mata taubat seorang hamba!

Motivasi Dari Kisah

Saya memahami, berbicara itu mudah tetapi mahu melakukan itu tidak semudah bicara dan tulisan. Kerana itu perlu kepada kisah-kisah yang dapat menguatkan hati. Yang bisa meneguhkan keazaman dalam diri untuk menjadi lebih baik.

Pasti dan sudah tentu pernah mendengar kisah seorang pelacur perempuan. Yang kiranya dipandang manusia begitu kotor dan jijik pada masa kini sehingga melahirkan anak di luar perkahwinan yang sah. Walaupun mereka itu kini telah menyesal dan ingin berubah tetapi tetap dipandang serong. Tiada sokongan dan semangat yang ditiup tika mereka lemah. Kerana terusan dihantui dosa-dosa lalu.

Dengarkan kisah ini yang ingin saya putar kembali. Kembali kepada kisah pelacur perempuan. Yang berzina. Tetapi dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing. Tidakkah rahmat Allah itu luas? Kerana itu berhenti menghukum manusia. Walau kotor pada pandangan manusia, kita tiada pernah mengetahui apakah pandangan-Nya.

Lihat diri sendiri dan nilai. Diri sendiri juga belum tentu baik. Diri sendiri juga belum tentu dipandang-Nya. Walaupun kita melakukan kerja dakwah, walaupun diri itu sentiasa memberi tazkirah, walaupun diri itu aktif dalam program keagamaan.

Saya suka untuk kembali mengingatkan kepada niat. Lagi sekali, lihat dan nilai. Itu semua tidak bermakna jika hati terdetik riak dan melakukan kerana ingin dipandang hebat oleh manusia. Kerana ingin supaya manusia memandang tinggi. Kerana ingin manusia memandang diri itu bagus, baik, soleh dan solehah. Tika itu, tanya diri sendiri, di mana niatmu yang kau katakan kerana Allah?

Lagi saya bawakan kisah yang cukup sering didengari. Kisah pembunuh yang telah membunuh 99 orang. Lihat usaha dan kehendaknya yang ingin bertaubat. Pembunuhannya mencukupi 100 orang apabila membunuh seorang alim yang mengatakan bahawa dia telah tiada harapan.

Namun, tidak pernah cuba untuk berputus asa. Mengikut nasihat seorang alim yang lain yang mengatakan bahawa perlu penghijrahan ke satu perkampungan yang suasananya bisa membantunya bertaubat. Namun,di pertengahan jalan, dia meninggalkan dunia tanpa sempat bertaubat. Tetapi dalam keadaan sedang usaha bertaubat. Dan dia dimasukkan ke dalam syurga.

Kesimpulan

Kita tidak akan pernah bisa mengubah masa lalu, tetapi kita masih bisa bertindak mulai sekarang untuk mencipta sejarah baru.

Andai tiada berhenti memikirkan pandangan manusia, langkah kita tiada ke mana. Mereka tiada untung tetapi kita tetap rugi.

Sentiasa bersangka baik dengan Allah. Apabila jalan hidup kita begitu dan begini, yakinlah itu yang terbaik. Apabila kita melakukan dosa, Dia ada memberi keampunan. Saat kita lemah dan terhimpit, Dia ada meniupkan semangat dan kekuatan.

Allah ada menyebut bahawa Dia bersama sangkaan hamba-Nya. Andai kita yakin dosa-dosa kita akan diampunkan, Dia dengan rahmat dan sifat Maha Pengampun-Nya akan mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Thursday, February 27, 2014

Tarbiah Hati Buat Muslimah Hijrah

Membebaskan diri dari genggaman pandangan manusia
Segar, baru , tenang
Menghambakan diri pada yang Abadi
Pada yang Hakiki
Setelah lama terbuai oleh manisan dunia
Syukur Allah masih memberi peluang
Membina keyakinan baru
Membina harapan baru
Membina hati yang baru
Allahu Allah
Terima kasih kerana masih setia
Walaupun aku telah lama curang
Allah
Terima kasih kerana mempercayai aku akan pulang
Menyebarkan cintaMu pada ummah
Allah
Terima kasih kerana memberi
Walaupun selama ini aku menerima tanpa syukur
Aku kufur
..Allahu Allah..

Bilamana ada yang berubah menjadi lebih baik, maka buatlah kerana Allah..nescaya perubahan itu akan kekal keranaNya. Akan teguh keranaNya. Akan diperjuangkan keranaNya juga. Ketahuilah lidah manusia ini lebih tajam dari pedang,, boleh menusuk hati manusia yang sehingga lukanya tidak mengalir lagi dan airmatalah yang menjadi pengganti. Pernah dahulu ketika saya mula-mula berjinak dengan pakaian longgar, dengan sarung tangan, dengan sarung kaki. Ada rakan sekelas yang menegur. Beliau lelaki. Katanya saya nampak berbeza. Saya senyum. Dia bertanya adakah saya mahu berubah menjadi ustazah? Saya menggeleng,saya tidak mahu menjawab. Dengan ilmu yang sedikit ini, saya belum mampu menjawab sekiranya ada soalan lain yang timbul. Saya senyum lagi. Sungguh, senyum itu penawar buat saya. Walaupun pura-pura. Saya bukan mahu menjadi ustazah, saya mahu menjadi manusia yang bersyukur atas pemberian Allah. Saya mahu menjadi muslim yang semuslimnya. Saya mahu Islam, saya mahu Allah, saya mahu hati yang meletakkan cinta Allah itu paling atas.


Hati juga daerah paling susah ditarbiyyah. Sungguh, susah. Tiada pelajaran yang lebih susah daripada menjadi ikhlas. Tiada daerah paling sukar dijajah melainkan hati. Saat pertama saya mahukan Islam, saya HARUS mendekatinya. Sebelum mendekatinya, saya perlu mengenalinya.  Ramai kenalan saya yang hanyut kerana hanya mengamalkan Islam tanpa ilmu. Ramai ikhwah memberi nasihat apapun yang ingin saya lakukan, “SILA BERAMAL DENGAN ILMU”. Begitu juga Islam. Islam ini agama paling mudah bagi saya. Paling mudah dicontohi kerana baginda Rasulullah telah meninggalkan sunnah. Agama paling mudah dijadikan amalan hidup. Baginda Rasulullah telah meninggalkan Al-Quran sebagai pedoman.  Ikhlas itu susah. Tetapi pura-pura ikhlas itu mudah. Ikhlas itu seperti semut hitam diatas batu hitam dimalam yang kelam. Tidak nampak tetapi dirasai. Ikhlas itu tidak perlu diutarakan. Cukup didalam hati, In sha Allah apa yang lahir dari hati, akan sampai kehati juga.

Jadi mengapa berubah demi manusia yang nantinya kita ditimbal oleh Allah? Mengapa mengharap pujian manusia sedang Allah jualah yang berhak kita penuhi tuntutannya. Allah, masih juga memberi kita nafas walau telah lama kita menumpang didunia milikNya dengan sombong. Maka rugilah bagi mereka yang lalai. Allah, masih juga memberi nyawa sedang kita setiap hari kita digelumang maksiat. Nikmat Allah yang manakah yang kamu dustakan?


Muslimat, mukminat.. muslimat itu istimewa sekali..
Muslimat itu adalah bidadari Islam..
Saya kira muslimat itu adalah yang bertudung labuh,
Yang memakai sarung kaki,
Yang sentiasa berzikir..
Tidak
Muslimat itu adalah wanita perempuan Islam
Yang terlalu istimewa jika dibandingkan dengan wanita-wanita lain.
Dia punya kekuatan,
Tapi..
Kekuatannya didalam lembutnya wanita
Dia punya ketegasan,
Tapi..
Ketegasannya didalam santunnya seorang wanita..

Muslimat, serikandi Islam..mujahiddah solehah..

Saya melihat anak muda kini semangatnya menuju jalan Allah bukan main-main. Semangat ini yang merendahkan nilai diri saya berbanding mereka. Kalau dilihat semangat mereka ini mereka ekspresikan dalam penulisan, dalam usrah seharian, dalam pengembaraan menuntut ilmu Allah, dalam bersungguhnya menjadi barisan hadapan dalam menentang musuh. Saya melihat saya masih didalam tempurung yang ini juga. Saya masih terlena. Malangnya, tiada siapa berani mengejutkan saya. Saya berfikir, kalau tidur seharian menunggu dikejutkan dan kalau tiada dikejutkan, maka saya tidak bangun, jadi, saya tidak perlu bangunkah untuk hari itu? Jadi, hidup dakwah ini bukan hidup menunggu orang lain, jalan ini bukan mengharap orang lain. Ini bukan istilah dakwah sesungguhnya. Dakwah ini saya perlu sendiri jika perlu. Dakwah ini saya perlu kuat menahan cacian makian. Kerana inilah makanan dunia akhir zaman. Dakwah ini juga bukanlah harus ke negara luar demi mempertahankan umat Islam disana. Itu bonus sahaja. Tidaklah Allah membebankan hamba-hambaNya. Dakwah juga cukup sekiranya kita ditempurung itu juga, saling mengingatkan rakan lain yang sama-sama dibawah tempurung itu tadi untuk menuju redha Allah. Saya WAJIB mencorakkan semula kerja-kerja saya. Mengikut Islam sesungguhnya. Bagaimana? Dengan menggerakkan tenaga ummah agar mampu menggerakkan sendi mereka bersujud pada Allah dinihari. Nampak seperti mudah. Tetapi pengurusan manusialah paling sukar dikuasai oleh mana-mana pemimpin kini yang dahulunya Rasulullah SAW paling bijak dalam menangani manusia. Erti hidup dalam memberi. Memberi pada ummah, memberi walau sedikit,memberi walau tiada. 

     Konteks TIADA inilah yang seringkali menahan para ikhwan untuk bergerak lebih agresif dalam dunia dakwah ini. Padahal mereka lupa Allah paling suka hambanya memberi dalam keadaan dia tiada apa untuk diberi.

:TIADA wang untuk ke Syria seperti Ahmad Ammar:
Padahal kita masih boleh melakukan kerja solidarity ini diMalaysia. Peluang kita memberi masih lagi luas dikalangan rakyat Malaysia.

:TIADA ilmu untuk dihebahkan:
Ilmu milik Allah. Apa yang anda tahu walau sedikit, kongsikanlah. Dengan izinNya ia akan bertambah. Seperti air yang mengalir, ia akan berguna tetapi berbeza dengan air yang tetap disitu, ia akan dicemari.

:TIADA kekuatan dalam berdakwah:
MEDIUM KINI:

Sebagai pelajar  jurusan komunikasi, saya melihat medium rangkaian yang ditawarkan kini lebih kepada memecahbelahkan ummah ini khususnya. Medium yang membebaskan pergaulan, medium yang menjadikan wanita sebagai tatapan seluruh umat manusia, medium yang menghalalkan segala cara sedang dalam Islam, harus ada halal dalam pelaksanaan.

Wadah yang ditawarkan adalah bertujuan melekakan, menghanyutkan, dan memecahbelahkan umat Islam.

Siapa yang menubuhkan medium seperti Facebook, Instagram, Keek, Yahoo Massenger, Wassap, Wechat? Bukankah Yahudi itu lebih dahulu menyiasat tentang musuhnya iaitu kita, Islam?

Apa yang dapat dilihat daripada fenomena ini? Pertelagahan sesama muslim, pencanggahan pendapat yang akhirnya menjadi pertelingkahan lidah. Pergaduhan sesama suami isteri dipertontonkan oleh seisi manusia dibumi, wanita tanpa malu mempamerkan siapa mereka sebenarnya.

Allah, inikah dunia akhir zaman?

Yahudi, musuh Islam selamanya.

Kini mereka menyerang menggunakan rangkaian seperti ini.

Rangkaian ini khususnya untuk darah muda, anak muda, belia.

Belia yang kudratnya masya Allah tidak tertanding. Kudratnya yang diperlukan oleh ikhwanul muslimin yang lain.

 PEMIKIRAN YAHUDI:
Satu artikel yang ditulis oleh penulis artikel Yahudi tentang Islam adalah:

“Muslim ini sangat kuat berjihad dan mereka tidak takut berjihad tetapi satu kelemahan mereka, mereka malas membaca.”

Penulis lain marah kerana menganggap bahawa artikel ini akan membuatkan Muslim memperbaiki kelemahan dan akan bangkit
“Biar mereka dibuai oleh dunia maya ini sehingga mereka lupa rakan mereka yang sedang ditembak oleh bala tentera kita”

“Biar mereka bergaduh dialam maya ini yang membawa rusuhan seluruh dunia.”

“Biar mereka hanya membantu dialam maya ini. Cukup. Jangan biarkan mereka membantu dengan kudrat. Kudrat mereka luar biasa..”

“Biar mereka menatap wanita yang dahulunya dijaga dan disimpan rapi sehingga mereka tergoda dan akhirnya maksiat berleluasa.”

“Biar wanita Islam ini mempamerkan apa yang sepatutnya mereka tutupi selama ini, agar ajnabi tertarik dengan mereka. Biar mereka leka bercinta dan akhirnya umat Muhammad yang sepatutnya lahir dengan halal biar dibunuh dengan rela.”

“Biar umat Muhammad ini binasa. Biar apa yang Muhammad lakukan dulu sia-sia.”

Allah, inilah mengapa saya katakan wadah ini dirancang. Inilah yang saya maksudkan medium ini merosakkan. Inilah yang kita khayalkan. Inilah manusia akhir zaman.

Kini, Yahudi sangat mengikuti data-data yang dikirim melalui rangkaian ini agar mereka mudah memantau segala kegiatan kita dialam maya ini.

Saya juga sebagai pelajar jurusan komunikasi memantau sistem dalaman komunikasi kini tidak lagi luas untuk umat Islam gapai. Tidak banyak ruang untuk kami memulihkan kembali isyarat dan sistem ini. Tidak banyak yang boleh kami lakukan.
YES, I AM COVERING MY HAIR BUT NOT MY BRAIN. NOW,I AM EXPLORING YOUR BRAIN
BY MUJAHIDDAH
Saya selalu menganggap ujian sebagai peluang.

TETAPI,

Mari kita ubah, medium ini kita ubah menjadi medium dakwah.
Medium ini kita ubah menjadi rangkaian silaturrahim, rangkaian ukhwah yang membentuk ketakwaan kita pada Allah.

Medium ini kita ubah menjadi peringatan pada mereka yang masih lena.
Medium ini perlu diubah sejajar dengan dakwah Islamiah.

ISLAM:

“Biar medium yang mereka cipta untuk memusnahkan kita menjadi perangkap buat mereka sendiri.”

“Biar medium yang mereka reka ini memakan bala tentera mereka sendiri.”
“Biar medium ini menjadi pelindung buat wanita muslimah”

“Biar medium ini menjadi peringatan bagi mereka yang masih leka.”

“Biar medium ini sendiri yang membinasakan mereka.”

Ataukah kalian mahu BIARkan hidup kalian binasa ditangan mereka?

BIARkan sahaja entri ini tanpa sebarang reaksi.

BIARkan kita diazab oleh Allah  disebabkan apa yang kita lakukan dialam maya ini.

BIARkan saya berhujah tanpa pemerhati yang teliti.

BIARkan entri ini sepi.Kalian BIAR,saya akan tetap TEGAR.

Wednesday, February 26, 2014

Solat Tapi Hidup Tidak Bahagia





Assalamualaikum w.b.t. Apa khabar sahabat semua? Semoga sentiasa dirahmati dan dikasihi Allah.

Sudahkah kita benar-benar menghadapkan diri dan kehidupan kita sepenuhnya kepada Allah? Berapa peratus? Seratus peratus? Lima puluh peratus? Atau baru sepuluh peratus?
Tahukah anda bagaimana mahu mengukur tahap anda menghadap kepada Allah? 

Mudah saja. Lihat sejauh mana anda menghadapkan diri kepada Allah sewaktu solat. Berapa peratuskan solat anda itu benar-benar sedar kepada Allah dan betul-betul menghadap kepada-Nya dan bukan menghadap kepada yang selain-Nya seperti kerja yang belum disiapkan, ikan di kuali atau kunci yang hilang.

Sebaik anda mengangkat takbiratul ihram, perhatikan kesedaran anda. Anda boleh berada dalam dua kesedaran, pertama kesedaran kepada Allah dan merasa dilihat Allah atau kesedaran nafs iaitu perkara-perkara berkaitan dunia dan hawa nafsu. Sekiranya kesedaran anda kepada Allah hanya sekitar sepuluh peratus sahaja dari keseluruhan solat itu, maka begitu jugalah sepuluh peratus sahaja anda menghadapkan diri dan kehidupan kepada Allah. Itulah cara mengukurnya kerana solat menggambarkan diri dan kehidupan anda.

Bayangkan di dalam sebuah kelas, sekiranya terdapat pelajar yang bercakap semasa guru bercakap, itu menunjukkan sikapnya yang sama di luar kelas iaitu tidak menghormati orang lain. Sikap kita di dalam solat sama dengan sikap kita di luar solat. Justeru, inilah rahsianya untuk kita mengubah sikap dan kehidupan kita kepada yang lebih baik. Iaitu dengan membaiki solat kita. Inilah latihan yang Allah sediakan.

Solat adalah suatu perbuatan yang dibuat berulang-ulang kali. Setiap perbuatan yang dibuat berulang kali akan menjadi perilaku atau sikap seseorang yang melakukan perbuatan itu. Justeru Allah mewajibkan hamba-Nya untuk solat dengan khusyuk iaitu dengan menghadapkan dirinya dengan penuh kepada Allah ketika solat. Inilah yang terungkap dalam Doa pembuka solat iaitu Doa Iftitah, “Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku ke wajah Allah yang menciptakan langit dan bumi” dan kalimah seterusnya “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah”.

Bayangkan sekiranya seseorang itu menghayati apa yang dibacanya dalam doa Iftitah ini, iaitu dengan melakukan apa yang dibaca bukan sekadar membaca tanpa sedar, pastinya ia akan berubah menjadi perilaku. Bagaimana dia benar-benar menghadapkan wajahnya kepada Allah ketika dia membaca doa Iftitah pastinya dia terlatih untuk menghadapkan diri dan kehidupannya hanya untuk Allah. Inilah rahsia solat yang khusyuk. Apabila seseorang berjaya untuk solat dengan khusyuk maka dia juga berjaya menghadapkan diri dan kehidupannya kepada Allah di luar solat. Dia juga akan berjaya mencegah perbuatan keji dan mungkar kerana dia sentiasa sedar akan Allah setiap waktu dan ketika. Firman Allah; “.. Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar”

Ramai umat Islam hari ini mempunyai masalah untuk solat dengan khusyuk. Apakah dan dimana puncanya masalah ini?

Pertamanya kerana tidak adanya ilmu bagaimana kaedahnya untuk khusyuk di dalam solat. Dari kecil, kita diajar dengan lengkap rukun-rukun dan sunat-sunat solat, kita diajar apa yang membatalkan solat tapi jarang sekali yang mengajar bagaimana untuk khusyuk dengan solat. Justeru, ilmu untuk solat dengan khusyuk tersangatlah penting agar solat kita menjadi solat yang khusyuk dan menghadapkan diri kepada Allah. Barulah hidup kita akan betul menghadap kepada Allah dan tidak selain-Nya. Dengan itu benarlah kalimah syahadah yang kita ucapkan bahawa tidak ada Tuhan lain yang kita hadapkan wajah kita selain Allah; tidak menghadap kepada wang dan harta, tidak menghadap kepada pangkat dan kemasyhuran yang dengan itu kita telah mensyirikkan Allah.

Keduanya, setelah kita belajar solat dengan khusyuk, mengapa kita masih mempunyai masalah untuk khusyuk? Ini adalah kerana dalam diri kita ada nafs (hawa nafsu) yang sering mengajak kepada kejahatan. Diri kita masih mempunyai banyak keinginan yang berkaitan dengan dunia.

Justeru ketika kita mahu menghadapkan diri kepada Allah di dalam solat, keinginan-keinginan dunia dari hawa nafsu akan menarik kesedaran terhadap Allah dan membawa kita kesedaran dunia dan isinya. Justeru solat kita menjadi tidak khusyuk kerana jiwa tidak menghadap kepada Allah tetapi kepada selain-Nya. Bagaimana untuk menghadapi masalah ini?

Allah sudah menyiapkan senjata untuk kita menawan hawa nafsu kita agar dia menjadi lemah dan tidak mampu untuk menarik perhatian kita dari Allah. Senjata itu adalah Puasa.

Hawa Nafsu kita berasal dari dorongan jasad kita. Puasa melemahkan jasad dan secara otomatisnya melemahkan dorongan untuk membesarkan hawa nafsu. Justeru latihan 30 hari di bulan Ramadhan adalah senjata yang sangat hebat untuk menawan hawa nafsu itu. Bayangkan setiap hari kita melemahkan jasad dan dorongannya. InsyaAllah di akhir bulan Ramadhan, kita akan berjaya menawan hawa nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan itu dan akhirnya berjaya solat dengan khusyuk dan menghadapkan secara penuh kepada Allah. Justeru kembalilah kita kepada Allah dalam keadaan suci dan itulah sebab kita sering mendengar ungkapan “kembalilah ke fitrah yang suci” di bulan Ramadhan.

Allah memberikan kita senjata yang kedua untuk benar-benar menawan hawa nafsu kita. Senjata yang kedua adalah zakat. Di dalam bulan Ramadhan kita digalakkan berzakat atau bersedekah. Memberi yang digalakkan Allah adalah memberi sesuatu yang dicintai. Contohnya seorang yang mempunyai banyak kambing, haruslah memilih kambing yang terbaik untuk disedekahkan. Mengeluarkan atau memberi harta yang dicintai ini akan membebaskan kita dari ikatan kecintaan harta dan dunia yang sering menarik kesedaran kita dari kesedaran ke Allah kepada kesedaran dunia dan isinya. Justeru dengan senjata yang kedua ini, kita akan lebih mudah untuk solat dengan khusyuk.

Apa jadi selepas bulan Ramadhan? Senjata sudah tidak digunakan lagi?

Pastinya kita memerlukan senjata ini setiap waktu dan ketika kerana kita harus menghadapkan diri dan kehidupan kita kepada Allah setiap bulan dan bukan hanya di bulan Ramadhan. Allah menggalakkan hamba-Nya untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal. Justeru sebaiknya cubalah berpuasa enam hari berturut-turut agar dapat manfaat seperti bulan Ramadhan di mana kita benar-benar memerangi hawa nafsu yang cuba membesar dengan ‘open house’ di bulan Syawal. Jangan lupa untuk menggunakan juga senjata yang kedua iaitu zakat atau sedekah ketika kita berpuasa enam itu.

Apa yang berlaku selepas puasa enam? Rasulullah mengajar kita untuk berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Puasa itu senjata yang tidak harus ditinggalkan. Justeru untuk memastikan kita mampu untuk sentiasa solat dengan khusyuk di mana kesedaran kita ke Allah berjaya dipertahankan (kerana hawa nafsu yang menarik kesedaran itu sudah berjaya dilemahkan dan ditawan) maka kita harus sentiasa menggunakan senjata Puasa ini secara berterusan.

Jangan lupa juga untuk keluarkan zakat atau bersedekah apabila melakukan Puasa Sunat Isnin dan Khamis. InsyaAllah kita dapat menghidupkan suasana Ramadhan setiap minggu; Isnin, Khamis berpuasa, Jumaat kita raya (ada khutbah Jumaat) dan jangan lupa bila ke Masjid untuk solat berjamaah, hulurkan wang yang kita cintai untuk jalan Allah atau kepada sesiapa yang memerlukan. Justeru orang Islam itu bersedekah setiap minggu.

Inilah rahsia hebat yang sering kita terlepas pandang. Solat, Puasa dan Zakat hanya jadi rutin beragama yang dilaksanakan tanpa memahaminya. Justeru di bulan Ramadhan yang sewajarnya bulan menawan hawa nafsu jadi bulan yang paling kuat membesarkan hawa nafsu, hawa nafsu makan semasa berbuka, hawa nafsu menukar perabot rumah, memberi emas, membeli langsir dan sebagainya. Jadilah Puasa kita itu hanya sekadar lapar dan dahaga yang disebutkan oleh Rasululah.

Dengan Ilmu solat dengan khusyuk dan dua senjata hebat, Puasa dan Zakat, insyaAllah kita akan mampu Solat dengan benar-benar menghadapkan wajah kita kepada Allah sepenuhnya. Justeru, begitulah juga kita di luar solat, insyaAllah benar-benar mampu menghadapkan diri dan kehidupan kita kepada Allah dan menjadikan hidup dan mati kita hanya untuk Allah. Inilah erti Kalimah Syahadah yang kita sebutkan. Barulah kita dikatakan telah menyempurnakan Syahadah kita.

Rumusannya, Solat adalah cermin diri dan kehidupan kita. Bagaimana kita solat, itulah diri dan kehidupan kita. Itulah sebab kenapa Solat adalah soalan yang pertama ditanya oleh Allah bila kita kembali menghadap-Nya satu hari nanti. Baik solat kita, baiklah kehidupan kita dan masuklah kita ke Syurga yang disediakan untuk orang-orang yang menjaga solatnya.

Belajarlah Solat dengan Khusyuk, rajinlah berpuasa dan lepaskanlah ikatan kecintaan kepada dunia dengan sering bersedekah dan berinfaq di jalan-Nya. Semoga kita dipanggil pulang oleh Allah sebagai jiwa yang tenang dan berjaya memasuki Wilayah Nafsul Mutmainnah yang didiami oleh ruh para kekasih Allah. Amin Ya Allah.

Firmah Allah yang bermaksud: “Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan puas lagi diredhaiNya, Masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu” (Al-Balad: 27-30)

Monday, February 10, 2014

Sabar Atau Bunuh Diri?

Pernahkah anda mengalami stress yang melampau? Mungkin ada antara kita yang pernah terfikir untuk melakukan perkara yang bukan-bukan seperti membunuh diri dan mencederakan diri sendiri ketika menghadapi tekanan yang melampau.

Ada juga yang gemar menjerit terpekik terlolong ketika stress menyelubungi diri.

Syeikh al-’Arifi, seorang penulis buku Arab yang terkenal menceritakan kisah beliau tatkala beliau berkunjung ke Madinah al-Munawwarah untuk menziarahi sahabatnya Khalid. Dalam pertemuan itu, Khalid mengajak beliau untuk menziarahi sahabat mereka berdua, Dr. ‘Abdullah. Dr. ‘Abdullah merupakan seorang cendekiawan yang terkenal dengan akhlak yang mulia dan beliau sentiasa tersenyum.

Kisah Dr. ‘Abdullah ini cukup menyayat hati. Beliau diuji dengan dugaan yang sangat kuat oleh Allah S.W.T.

Suatu hari, anak lelaki sulung beliau membawa semua ahli keluarganya ke satu kenduri perkahwinan tidak jauh dari rumah mereka. Hanya Dr. ‘Abdullah yang tidak ikut serta ekoran tuntutan kerjaya beliau di universiti. Siapa sangka itulah kali terakhir beliau hidup bersama mereka. Dalam perjalanan pulang, kereta yang dipandu anak sulungnya kemalangan dan mengorbankan keseluruhan ahli keluarganya, kesemua 11 orang!

Walaupun Dr. ‘Abdullah selalu bersabar apabila menghadapi pelbagai ujian, tetapi beliau tetap seorang manusia biasa. Beliau tetap punya hati dan perasaan dan mata yang bisa menangis. Dia juga mempunyai jiwa yang kadangkala gembira dan kadangkala sedih.

Sungguhpun berita itu sangat merapuhkan hati, beliau tetap menyembahyangkan jenazah dan mengebumikan mereka dengan tangannya sendiri. Setelah selesai pengebumian, Dr. ‘Abdullah pulang ke rumahnya yang pernah dihuni oleh anak-anak dan isteri beliau. Dengan hati yang masih terluka, beliau mula menjelajah ke segenap pelusuk rumah. Sunyi, sangat sunyi. Tidak seperti sebelumnya.

Beliau memandang mainan yang terbiar di atas lantai. Tiada lagi Khulud dan Sarah yang riang bermain dan kadang-kadang berebut permainan sampai bertelingkah kecil. Sungguh girang hati-hati suci itu!

Beliau menjenguk kamar tidur beliau dan isterinya. Matanya tertancap pada katil yang tidak dikemas kerana tiada lagi Ummu Salih, isterinya yang dicintai sepenuh hati yang setiap pagi akan mengemas katil mereka berdua tanpa bersungut.

Basikal Yassir sepi sendirian tersandar pada dinding rumah. Tiada lagi pemuda mulia itu yang setiap petang akan menunggangnya ke pekan.

Beliau masuk ke kamar anak gadis sunti beliau yang sudah merancang untuk berkahwin dengan pemuda soleh pilihannya sendiri tidak lama lagi. Pakaian pernikahannya masih elok tersusun tidak terusik apatah lagi dipakai.

Masya-Allah. Kamu menghadap-Nya di saat-saat pernikahanmu semakin hampir!

Alangkah hebatnya seorang hamba Allah redha akan ketetapan Tuhannya. Sesiapa sahaja yang melihat beliau ketika mendapat ucapan takziah daripada orang ramai akan pelik. Kerana seolah-olah yang meninggal itu bukan sesiapa baginya. Malah beliau yang sebaliknya menasihatkan tetamu yang datang dengan tazkirah ringkas beliau.

Beliau sentiasa mengulang, “Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali. Segala yang Allah kurniakan, itu kepunyaan-Nya. Segalanya telah Allah tetapkan.”

Bayangkan jika beliau tidak redha dan bersungut atas kehilangan mereka. Lama kelamaan, beliau akan mati kerana kesedihan yang melampau. Kerja tidak akan menjadi. Hidup tidak dapat diteruskan dengan sempurna.

Benar sahabatku! Jangan kamu cuba untuk bunuh diri dan janganlah setiap kali kamu berbual dengan orang ramai, kamu mula bersungut terhadap dugaan Allah sampaikan orang lain mulai jemu dengan kerenahmu.

Contohnya apabila seorang isteri kerap sekali mengadu kepada suaminya, “Bang, rumah ni dah lama sangat dah.. Bang, kereta buruk tu dah selalu sangat masuk bengkel.. Bang, baju ayang dah out of fashion..”

Sudah tentu lama-kelamaan si suami akan menjadi bosan dengan sikap isterinya itu dan tidak mustahil andainya si suami tersebut mula mencari-cari bakal isteri baru.

Adalah lebih elok kalau kita terima segalanya seadanya. Tidak guna mencemuh mengatakan itu begitu, ini begini, yang itu begitu, yang ini begini.

Ingatlah wahai diri dan sahabat, dugaan itu tidak merupa dalam bentuk kesusahan sahaja, malah kesenangan yang ada sekarang juga adalah dugaan. Dugaan yang diciptakan untuk menguji hamba-Nya yang bersyukur dan hamba-Nya yang kufur.

Wallahu’alam.

Thursday, January 23, 2014

Nafsu Bukan Tuhan

“Arghh.. bodohnya aku! Kenapa aku ikut nafsu..?”
“Aduh.. aku kalah lagi dengan nafsu..”
“Kenapa aku begini? Teruknya..”

Kerana nafsu diri disalahkan.. begitulah keadaan kita apabila terlanjur melayan kehendak nafsu. Nafsu mengajak, kita melayan. Nafsu memang hebat. Kehendak nafsu walaupun sangat merosakkan tetapi sanggup kita turuti.

Semuanya kerana apa? Kerana nafsu mengajak melakukan sesuatu yang sangat menyeronokkan. Kita suka. Akhirnya, nafsu menjadi musuh yang sangat kita cintai.

Bayangkanlah.. keburukan nafsu seperti banyak makan, banyak tidur, banyak cakap, marah-marah, seronok berhibur, bermegah dengan kecantikan, sombong dengan harta kekayaan, gila pujian, rasuah, melihat aurat orang lain, dan lain-lain adalah sesuatu yang memang menjadi kesukaan manusia. Semuanya ‘best-best’.

Allah ‘Azza Wa Jalla juga ada menyebutkan..

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاء وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
 
Dijadikan terasa indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).” [3 : 14]
Mahu menentang perkara yang kita suka? Huu.. pasti sukar.

Nafsu yang menyeronokkan itu tetap akan ada dalam diri kita walau di mana jua. Apabila nafsu ditentang, diri kita yang terseksa. Menentang nafsu ibarat menentang diri sendiri. Keperitan dan kesakitannya pasti terasa. Maka ramailah dalam kalangan kita yang tidak menentang nafsu malah rela melayannya kerana tidak mahu diri terseksa.

Lalu apa jadi selepas nafsu dituruti?
Kita rasa menyesal atau rasa terhibur?

Kita kesal? Alhamdulillah.. bersyukurlah sekiranya kekesalan itu wujud dalam diri kita. ‘Rasa menyesal’ merupakan bukti bahawa kita masih beriman dan kita masih punya harapan.

Biarlah kekesalan itu mendorong diri kita untuk bertaubat, memohon keampunan daripada Allah atas keterlanjuran kita. Jangan ditangguh-tangguh taubat itu kerana pengampunan Allah tersedia buat hamba-hambaNya yang segera memohon ampun.

Sabda Rasulullah SAW;

مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ، ثُمَّ يَقُوْمُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّـهَ إِلاَّ غَفَرَ اللَّـهُ لَهُ
 
“Tiada seorang hamba yang melakukan dosa, lalu ia menyempurnakan wuduknya.
Kemudian ia bangun, lalu mendirikan salat dua rakaat, seterusnya memohon keampunan kepada Allah, melainkan Allah mengampunkan baginya.”
[Riwayat Abu Daud dan Tirmizi]

Mengadulah pada Allah akan kelemahan kita dalam melawan kerenah nafsu. Selalulah meminta kekuatan dan petunjuk agar diri kita tidak mudah tergoda oleh pujukan dan rayuan nafsu.

“Apa jadi kalau diri kita tidak rasa menyesal lalu terus hanyut dengan nafsu?”
Adush.. ruginya.. rugi besar..

Malang sungguh keadaan insan yang sedemikian. Sudah melakukan dosa namun tiada rasa penyesalan, itu tandanya kita adalah penderhaka. Langsung tidak rasa bersalah terhadap dosa. Sepertimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW;

“Sesungguhnya orang yang derhaka itu  melihat dosanya bagaikan lalat yang hinggap dihidungnya.”
 [Riwayat Bukhari]

Ya, memang benar. Apabila diri kita sanggup menderhaka kepada Allah semata-mata menurut kehendak nafsu, maka dosa akan dianggap sesuatu yang biasa. Lepas buat dosa, dibiarkan diri tanpa taubat. Seolah-olah dosa yang dilakukan itu tidaklah memberi kesan apa-apa melainkan kepuasan yang menyeronokkan.

Arhh.. apa sudah jadi? Adakah diri kita begitu?

Jangan. Jangan bersikap sebegitu wahai diri. Jangan jadikan nafsu sebagai Tuhanmu. Berhentilah  menurut kehendak nafsumu. Jangan sampai keseronokan dan kelekaan kita melayan nafsu menyebabkan kita rosak. Mata kita jadi buta, tidak dapat melihat kebenaran. Hati kita jadi keras tidak dapat dilembutkan dengan kebenaran. Lalu kita hidup dalam kesesatan.

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ 
“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuan-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” [45 : 23]
Jelas sungguh keterangan daripada Allah itu. Maka marilah kita bersama-sama takut kepada Allah ‘Azza Wa Jalla dan berusaha menjauhkan diri daripada segala pujuk rayu hawa nafsu. Mudah-mudahan Redha dan Syurga-Nya menjadi milik kita. Hayati janji Allah ini;

وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى
 
“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.” [79 : 40-41]

Pintu Taubat : Aku Yang Berdosa

“Pintu Taubat”. Pernahkah anda menonton sebuah siri drama di televisyen berbayar yang menyiarkan kisah seorang manusia yang lalai dengan pelukan duniawi dan akhirnya tidak sempat untuk bertaubat atas segala kesalahannya terhadap Maha Pencipta?

Rasa kesal dan sesal tidak lagi berguna jika nyawa betul-betul dihujung tanduk. Apa yang mereka boleh lakukan? Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya” 
 (Hadis Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani)

Gerun bukan? Cuba letakkan diri kita di saat nyawa betul-betul dihujung halkum kita. Tidak terkata dan terbayang dengan apa-apa yang akan berlaku. Saat mati itu adalah rahsia dari Allah, tiada siapa di atas muka bumi ini yang mengetahui saat bila kita akan dipanggil oleh nya hatta seorang ibu yang melahirkan dan menyusukan kita serta membesarkan kita pun tidak dapat meneka saat ajal itu tiba. Mati itu tiada diskriminasi, mahupun dia adalah seorang raja, hartawan, papa kedana, alim, penjenayah pasti akan merasai saat kematian.

Dalam firman Allah SWT mengingatkan kita bahawa;

“Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Khiamat.”
(Surah Ali ‘Imran ayat 185)

Jika berbicara mengenai taubat, secara automatik kita akan menyentuh sedikit perihal hidup dan mati. Mereka bertiga seolah-olah mempunyai link yang tersendiri dan unik untuk dikupas. Pasti pernah kita terfikir,

“Bagaimana jika aku mati dalam keadaan tidak sempat untuk bertaubat dari segala dosa-dosa aku yang lampau?”

“Adakah aku akan mati dengan tenang jika dosa-dosa lalu ibarat menghambat aku sendiri di kari akhirat kelak?

“Dan bilakah waktu Malaikat Izrail itu akan datang untuk mencabut nyawa ku?”

Meremang seketika bulu roma apabila nama Malaikat Izrail disebut. Ibarat ia dekat dan sedang memperhatikan kita. Subhanallah.

Saya punya satu kisah yang boleh diambil iktibar dan pengajaran. Dan cerita ini merupakan sumber inspirasi saya untuk terus menulis artikel ini. Kisah ini bermula dengan seorang pelajar universiti yang biasa sahaja. Tahun pertama, dialah Imam pertama saya ketika saya ingin mengerjakan solat Zohor di surau asrama. Gaya, penampilan dan tutur kata tidak banyak berbeza dengan pelajar lain.

Penampilannya tampak seperti orang Bandar mungkin Kuala Lumpur, Johor Baharu atau Penang. Selepas beberapa semester, dia sudah tidak kelihatan di surau itu lagi. Dan akhirnya saya terserempak dengannya ketika kuliah tamat. Rambutnya kelihatan perang dan nampak lebih bergaya. Saya mula untuk menilai yang dia bukanlah seorang yang betul-betul mendalami ajaran Islam. Dan kini, solat maghrib di surau yang sama, dialah Imam yang mengetuai Jemaah dalam solat tersebut. Dia kembali kepada fitrah yang dulu saya pernah jumpa. Saya gembira dan dari situ, saya fikir jika dia boleh berubah kepada yang lebih baik, kenapa tidak saya? kita?

Pintu taubat Allah sentiasa terbuka untuk kita sebagai umatnya. Jangan kita sesekali berputus asa dengan Rahmat dari Allah yang menciptakan kita. Firman Allah dalam Surah az-Zumar ayat ke 53,

“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” 

Itulah yang saya ingin sampaikan bahawa Pintu Taubat Allah sentiasa terbuka luas untuk hambanya. Ayat diatas tiada sebarang syak wasangka dan keraguan untuk kita terus istiqamah memohon ampun dariNya dan meninggalkan segala kemungkaran yang telah kita lakukan. Dialah jua Yang Maha pengampun lagi Maha Mengasihani.

Tertarik saya dengan satu perkara yang membezakan kita (umat Nabi Muhammad) dengan umat-umat nabi terdahulu. Disebutkan bahawa Nabii Adam A.S telah berkata,

“Sesungguhnya Allah S.W.T telah memberikan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W empat kemuliaan yang tidak akan diberikan kepadaku:

1. Taubatku hanya diterima di Kota Mekah, sementara taubat umat Nabi Muhammad SAW diterima disebarang tempat oleh Allah SWT
 
2. Pada mulanya aku berpakaian, tetapi apabila aku berbuat derhaka kepada Allah SWT, maka Allah S.W.T telah menjadikan aku telanjang. Umat Nabi Muhammas SAW membuat derhaka dengan telanjang, tetapi Allah SWT memberikan mereka pakaian.
 
3. Ketika aku berbuat derhaka kepadaNya, maka Allah SWT telah memisahkan aku dengan isteriku. Tetapi umat Nabi Muhammad SAW berbuat derhaka, Allah SWT tidak memisahkan mereka.
 
4. Memang benar aku telah derhaka kepada Allah S.W.T dalam syurga dan aku dikeluarkan dari syurga, tetapi umat Nabi Muhammad SAW derhaka kepada Allah akan dimasukkan ke dalam syurga apabila mereka bertaubat kepada Allah S.A.W.”

Hanya syukur yang dapat kita luahkan betapa kasihnya Allah SWT terhadap kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW . Namun sayang, masih lagi ada manusia yang celik tetapi hakikatnya mereka buta. Hati mereka buta untuk melihat kasih sayang dari Allah SWT itu.

Berbalik kepada cerita saya tadi, dia sangat beruntung kerana telah dibukakan hati nya untuk bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. Kisahnya perlu diambil pengajaran kepada diri saya sendiri untuk teurs istiqamah dalam melawan segala godaan syaitan dan hawa nafsu.

Kita manusia biasa yang sering kali melakukan kesilapan dan kesalahan. Jika kita seorang yang peka dan mengetahui akan segala kesalahan yang dilakukan itu adalah salah dan melawan tuntutan dari Allah. Alhamdulilah, kita punya peluang untuk berubah kepada yang lebih baik. Kini ramai remaja mahupun dewasa sebenarnya hilang arah hidup mereka dan tidak pernah ingat akan tuntutan Allah dan laranganNya kepada kita. Mereka terus berbuat dosa dan kemungkaran. Dimana iman yang senipis kulit bawang ketika itu? Adakah terus lesap dan menghilang begitu sahaja?

Sebagai kata penutup, saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri terlebih dahulu dan pembaca sekalian agar kita sentiasa ingat bahawa dosa yang kita lakukan merupakan saham kita yang akan dibawa ke sana. Ia sama juga dengan segala kebaikan dan pahala kita akan turut dibawa ke sana. Bagaimana jika timbangan amalan dosa/buruk melebihi daripada amalan baik/pahala? Pada saat itu, rayuan untuk kembali ke dunia tidak akan dilayan sama sekali.

Justeru sebelum terlambat, bersegeralah kita untuk memohon ampun dan bertaubat dengan segala dosa, kemungkaran dan kelalaian kita yang lalu supaya Allah dapat mengampunnya sebelum hembusan nafas kita yang terakhir. Renungkanlah  sepotong ayat Al-Quran, Surah Ali-’Imran ayat 135-136 untuk kita muhasabah dan hayati.

“Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal”

Wallah Anta A’lam

Get this widget here
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Copyright @ 2013 UNTUK SEMUA.