Thursday, January 23, 2014

Apa Itu Sunnah Nabi?

alt“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah rasul-Nya, dan orang-orang yang memegang kekuasaan antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka hendaklah kamu kembalikan kepada Allah dan rasul,  jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih baik dan sebaik-baik jalan.” (Surah An Nissak:59)

“Kembalikan kepada Allah dan rasul” yang dinyatakan oleh-Nya dalam ayat tersebut jelas merujuk kepada al-Quran dan sunnah. Justeru, tidak dapat tidak, manusia tidak hanya perlu bergantung kepada kitab Allah, tetapi juga sunnah Rasulullah yang mempunyai pengaruh amat besar dalam perluasan pembinaan hukum Islam.

PENGERTIAN SUNNAH

As sunnah mempunyai pelbagai pengertian yang dilihat berdasarkan kaca mata banyak pihak. Walau bagaimanapun, setiap definisi yang diberikan kelihatan tidak banyak bezanya antara satu sama lain.

Dalam buku berjudul Pedoman Muslim terjemahan daripada Minhaajush Shaalihin, ahli hadis melihat sunnah sebagai sesuatu peninggalan Rasulullah sama ada dalam bentuk perkataan, ketetapan mahupun sifat-sifat jasmani atau budi pekerti serta sejarah hidup – sebelum dan sesudah kenabian baginda diangkat Allah.

Sementara bagi ahli usul, as sunnah merupakan sesuatu yg dinukilkan daripada Nabi Muhammad. Ini boleh jadi membabitkan perkataan, perbuatan mahupun ketetapan. Contoh yang melibatkan perkataan ialah sesuatu yang disabdakan oleh baginda dalam pelbagai bentuk yang berhubung dengan pembinaan hukum. Perbuatan pula adalah seperti perlakuan Rasulullah dalam urusan ibadah seperti solat.

Menurut istilah fikah, as sunnah merupakan sesuatu yang tetap (sah) daripada baginda. Ia bukan fardu dan tidak wajib. Menurut sebahagian daripada ahli fukaha, sunnah adalah mutlak atas sesuatu yang berlawanan dengan bidaah.

PERANAN SUNNAH DALAM KEHIDUPAN

Sebagai hamba Allah, al-Quran wajib dijadikan panduan hidup. Begitulah juga keadaannya dengan sunnah. Abu Abdillah Hakim mentakhrijkan daripada Ibnu Abbas, bahawasanya Rasulullah bersabda :

“Sesungguhnya syaitan telah putus asa untuk menjadi sembahan di bumimu, tetapi ia senang untuk ditaati selain disembah daripada perbuatan-perbuatanmu yang merendahkan kamu, maka berhati-hatilah. Sesungguhnya aku telah meninggalkan kepadamu selama kamu bepegangan dengannya maka kamu tidak akan sesat selamanya iaitu kitabullah (al-Quran) dan sunnah nabi-Nya.”

Hadis merupakan sunnah Rasulullah. Dalam Islam, ia termasuk dalam dalil bagi menentukan hukum serta peraturan agama selain al-Quran. Ia terbahagi kepada dua bahagian. Yang pertama berperanan penting dalam menjelaskan maksud al-Quran. Sementara yang kedua pula menghuraikan hukum-hukum yang tidak dinyatakan oleh Allah dalam kitab-Nya.

Ini sesuai dengan dua firman Allah dalam surah An Nahl ayat 44 yang bermaksud :

“Kami turunkan kepadamu (Muhammad) akan Quran supaya engkau jelaskan kepada manusia apa yang diturunkan (Quran) kepada mereka.”  

Dan surah An Nissa’ ayat 59 yang bermaksud:

“Hai orang beriman! Ikut olehmu akan perintah Allah dan ikut olehmu akan perintah rasul.“

Walau bagaimanapun, agak menyedihkan apabila tidak semua semua daripada sunnah baginda dilaksanakan dalam kehidupan kita. Dan tambah menyayat hati apabila wujud segelintir pihak yang memesongkan sunnah Rasulullah dengan memutar belitkan hadis.

PERINGKAT HADIS

Terdapat beberapa peringkat hadis iaitu sahih, hasan dan daif.

Hadis sahih merupakan hadis yang sanadnya bersambung dengan riwayat orang adil yang memiliki ingatan kuat (dhabith). Selain itu, hadis tersebut turut selamat daripada unsur-unsur penyimpangan dan illat (penyakit). Hadis sahih tidak terkumpul secara mutlak dalam satu kitab hadis.

Bagi hadis hasan pula, perawinya ringan iaitu tidak kukuh hafalannya berbanding hafalan orang yang dhabith.

Sementara hadis daif adalah hadis yang tidak melengkapi syarat-syarat hadis sahih dan hasan. Terdapat tiga jenis hadis daif iaitu daif (lemah), amat daif (sangat lemah) dan hadis maudhu’ (palsu).

SUNNAH SEBAGAI SUATU HIKMAH

Sunnah Rasulullah amat istimewa kerana ia merupakan suatu hikmah.

Allah berfirman dalam kitabnya yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah telah memberikan kurnia bagi orang-orang yang beriman, ketika dia telah mengutuskan seorang rasul kepada mereka antara mereka sendiri yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka dan membersihkan mereka (dari sifat-sifat yang jahat) lagi mengajarkan kitab dan hikmah kepada mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu dalam kesesatan yang nyata.” (Ali Imran:164)

Berdasarkan ayat tersebut, kebanyakan ulama dan penyelidik berpendapat, hikmah yang  dimaksudkan ialah sesuatu yang diperlihatkan oleh Allah kepada baginda daripada rahsia agama dan hukum syariat-Nya. Mereka memanggilnya sebagai sunnah.

Justeru, selaku umat Muhammad, Muslim hari ini tidak wajar mensia-siakan sunnah peninggalan baginda. Mengabaikannya tidak lebih daripada suatu kerugian.

Aurat Lelaki Yang Jarang Dibincangkan

Aurat lelaki seperti yang dinyatakan sebelum ini agak longgar kerana selain waktu bersendiri dan bersama isteri, aurat lelaki hanya antara pusat dan lutut sahaja. Maknanya kalau seseorang itu hendak melakukan solat, auratnya ialah cukup antara pusat dengan lutut, begitu juga kalau dia berada di khalayak ramai.

Berdasarkan itu, ramailah orang lelaki mengambil mudah dengan menyatakan harus kita berada dalam sesuatu majlis dengan hanya memakai seluar pendek sampai ke paras lutut. Sebab itulah barangkali kita sering melihat orang lelaki suka memakai seluar pendek ketika membasuh kereta di luar rumah.

baby

Benar, jika mengikut hukum asal tidak salah memakai seluar pendek yang sampai ke paras lutut kerana itulah sahaja aurat bagi lelaki. Tetapi jangan lupa bahawa hukum itu perlu juga mengambil kira waktu berjalan dan duduk. Apakah ketika itu aurat lelaki tersebut masih terpelihara?

Bayangkan seorang lelaki yang hanya memakai kain sarung yang menutup pusatnya dan lutut. Solatnya sah kerana aurat bagi lelaki dalam solat ialah antara pusat dengan lutut. Tetapi bagaimana kalau dia rukuk, sujud, dan duduk antara dua sujud? Tidaklah lututnya ternampak? Sahkah solatnya ketika itu?

Jawapannya ialah tidak sah.

Bagaimanapun pula kalau dia membasuh kereta dengan pakaian yang sama, sesekali dia akan tunduk juga. Adakah ketika itu tidak terbuka auratnya iaitu lutut? Kalaupun dia memakai seluar pendek yang labuh hingga ke paras lutut, waktu dia mencangkung akan ternampak lututnya. Tidak berdosakah dia ketika itu?

Jawabnya tentu berdosa. Ya, kalau dalam solat tidak sah maka pada ketika waktu lain dia berdosa.

Bagi masyarakat kampung pula, mereka suka pakai kain pelakat yang digulung sampai ke paras lutut. Malah kadang-kadang ternampak pusatnya sewaktu terlondeh. Waktu berborak dengan kawan-kawan di serambi pasti tersingkap juga auratnya.

Bagaimana kalau dia melakukan solat dengan kain itu walaupun dilabuhkan di bawa lutut? Waktu rukuk dan sujud setidak-tidaknya akan ternampak pahanya oleh orang yang di belakangnya. Sahkah solatnya?

Begitu juga kalau si ayah memakai kain pelakat di dalam rumah bersama anak-anak, lalu pada waktu duduk terselak bahagian lututnya. Agaknya berdosa atau tidak ketika itu? 

Jawapannya sudah tentu berdosa kerana aurat ketika bersama mahram ialah antara pusat dengan lutut.

Kalau berdasarkan keterangan di atas adalah haram hukumnya, bagaimana keadaannya anak-anak muda yang suka memakai seluar pendek di dalam rumah, bersukan, main bola dan sebagainya? Seluar pendek yang dipakai mereka adalah di atas lutut, maka dalam keadaan itu dia bukan sahaja mendedahkan lututnya malah mendedahkan pahanya.

Nampaknya lelaki secara berleluasa mendedahkan aurat mereka tatkala bersukan. Apakah atas alasan bersukan aurat boleh didedahkan? Ya, kalau berhadapan dengan Allah sewaktu bersolat pun salah, betapa ketika berhadapan dengan orang ramai. Pada zaman ini, bukan sahaja orang yang dalam stadium yang melihatnya tetapi seluruh dunia melihatnya. Bayangkan berapa besar dosanya ketika itu.

Pakaian sukan tajaan Barat memang begitu. Hal ini kerana dalam teori sains, mereka yang memakai pakaian longgar dan menutup tubuh boleh melambatkan pergerakan. Tetapi teori itu ternyata tidak tepat apabila pelari pecut wanita Islam (dari Bahrain-kalau tak salah penulis) dapat mengalahkan pelari lain yang hanya sekadar memakai cawat dalam sukan bertaraf dunia baru-baru ini.

Selain itu, kalau benarlah teori itu, mengapa perlu pakaian itu diperkenalkan kepada pemain boling. Sukan itu tidak memerlukan pergerakan pantas.

Barat menipu kita dan kita hanya menurut sahaja tanpa mahu membantah. Kita akur dengan peraturan itu demi sukan padahal kita belum berani berbincang secara serius untuk mohon pengecualian bagi atlet Muslim.

Bayangkan sudah berapa lama umat Islam melakukan dosa mendedahkan aurat dalam bidang sukan. Jika dalam hal ini kita sudah berdosa dengan Allah, bagaimana usaha kita untuk membentuk perpaduan melalui sukan seperti yang sering diuar-uarkan. Mahukah Allah merestuinya?

Pada pandangan penulis, cara berpakaian dalam sukan itulah yang menjadi sebab mengapa kurang penyertaan orang Islam dalam sukan. Sebenarnya mereka masih berminat untuk bersukan tetapi mereka tiada pilihan untuk bersukan. Akhirnya sukan dikuasai oleh orang bukan Islam.

Dalam hal ini, alangkah baiknya bagi negeri-negeri yang di perintah oleh Pakatan Rakyat itu menjadi model menganjurkan sukan yang mempunyai konsep pakaian sukan Islam. Jika mereka berjaya, pasti dunia akan melihat dan lambat laun mereka akan mencontohinya.

Takdir Itu KetentuanNya

Setiap orang mengimpikan sebuah perjalanan ke alam baitulmuslim yang sangat indah. Kita sentiasa merancang, tetapi pengakhirannya tetap bergantung kepada satu perkara iaitu takdir Allah SWT kerana sesungguhnya perancangan Allah itu mengatasi perancangan manusia itu sendiri.

Sebaik mana pun perancangan seseorang, namun perancangan Allah jualah yang lebih baik dan terbaik pada setiap keadaan dan waktu. Apa yang pasti, setiap perancangan dan ketentuanNya itu pastilah yang terindah walaupun di mata kasar seorang manusia, seribu manikam menikam sukmanya.

Dalam meniti usia senja, perancangan demi perancangan di bina dan di susun serapinya. Pada usia muda, pelajaran menjadi keutamaan. Namun dalam masa yang sama, tuntutan fitrah untuk membina hubungan halal turut meraih tempat dalam perancangan kita. Kita mula mengatur langkah dengan mencari bagi si teruna dan menanti bagi si puteri. Ada  yang menanti dalam diam, dan ada juga yang sama-sama menongkah zaman. Menjadi ‘berani’ ke hadapan namun tetap berada di dalam jagaan ‘malu’ dan ‘rapinya’ seorang wanita. Lantas, orang tengah menjadi pengantara.

bunga daun kecil

Di saat kita mengatur langkah, merancang untuk menuju ke fasa yang penuh cabaran dan mehnah, adakah impian untuk membina baitulmuslim akan mempunyai pengakhiran yang indah belaka? Adakah niat kita untuk berbaitulmuslim benar-benar tepat dengan matlamat asalnya iaitu menikah di jalan dakwah?

Takdir yang bakal tiba segalanya berada digenggamanNya. Kita hanya mampu bertanya namun, jawapannya akan terjawab tatkala kita sudah pun berada di’dalamnya’ – alam berumahtangga.

Terdapat beberapa kisah benar wanita solehah yang ingin ana kongsikan bersama-sama untuk dijadikan sebagai satu motivasi supaya akhowat tetap teguh sebagai seorang Da’ie di jalanNya. InsyaAllah.

Kisah 1
 
Kagum sungguh dengan ukhti yang seorang ini. Sebelum ukhti ini berubah, dia pernah bercouple dengan seorang akhi. Dahulu kedua-duanya masih lagi di jalan kejahilan. Dan selepas Allah memberikan hidayah kepada ukhti ini terlebih dahulu dia terus-terusan bermujahadah di jalan Allah.

Bertahun-tahun lamanya ukhti ini bermujahadah. Manakala akhi ini pula terus-terusan cuba untuk menganggu ukhti tersebut dan ingin mendapatkn kepastian mengapa dia ditinggalkan begitu sahaja. Dan akhirnya akhi ini pun mengalah dan dia pula diberikan hidayah oleh Allah. Masing-masing mula menyepi dan mantap di jalan dakwah.

Selepas bertahun-tahun menyepi akhi ini mula mencari ukhti tersebut di facebook. Dan selepas ukhti ini melakukan istikharah, yakin dengan ketentuan yang diberikan olehNya, ukhti tersebut terus memulakan langkah perkenalan untuk ke langkah seterusnya. Alhamdulillah, baru-baru ini saya menerima walimatulurus daripada mereka berdua. Bersyukur ke hadarat Illahi kerana usaha mereka mujahadah bertahun-tahun lamanya akhirnya berbaloi juga. Allahuakbar.

Kisah 2
 
Seorang muslimah, alhamdulillah jodohnya ditetapkan awal oleh Allah. Menikah dengan seorang ikhwah. Yang kelihatan mantap di jalan dakwah. Gerak dakwah berterusan selepas perkahwinan sepertimana sebelum menikah. Namun kini kedua-duanya berhenti daripada terus bersama. Silapnya di mana? Wallahua’lam. Allah lebih tahu apa yang terjadi di tengah perjalanan perjuangan.

Kisah 3
 
Sudah beberapa tahun menunggu kedatangan seorang ikhwah. Namun belum datang bertandang. Dalam penantian, beberapa lamaran menjelma. Walaupun usia makin bertambah, namun setiap risikan dan lamaran ditolak dengan sebab lelaki tersebut bukan ikhwah yang didamba peribadinya.

Sehingga sampai ke satu masa, akhirnya tibalah saat-saat yang dinanti. Datanglah permintaan berbaitulmuslim dari seorang ikhwah, yang sangat mantap dalam gerak dakwahnya. Dan akhirnya istiqamah sehingga kini.

Saat ditanya, kenapa akak sanggup tunggu? Dia cuma tersenyum sambil berkata,
“kerana akak yakin akan janji Tuhan. Dan akak akan tetap tunggu ‘ikhwah’ sampai bila-bila. Dan dalam baitul muslim, bukan bergantung kepada siapa yang kita suka, tetapi kita perlu bersedia menerima sesiapa sahaja, asalkan dia tetap berpegang kepada fikrah yang sama. Itu prinsip akak.”

Kisah 4
 
Tetap juga menunggu beberapa tahun sehingga lewat 20-an. Akhirnya datang lamaran daripada seorang lelaki, yang bukan mantap agamanya. Dan keduanya bertunang. Beberapa bulan selepas pertunangan, datanglah beberapa risikan daripada ikhwah melalui ibu usrahnya.

Namun takdir mendahului, sudah menjadi tunangan orang, yang bukan seorang ikhwah. Dan kini, alhamdulillah ukhti itu tetap bergerak, dan mendapat sokongan zaujnya walaupun bukanlah seorang pendokong. Namun tetap seorang penyokong yang baik.

Demikianlah takdir susunan Allah pasti adalah yang terbaik. Yang tinggal adalah apa yang kita betul-betul inginkan. Adakah hanya sebuah rumahtangga untuk menghalalkan hubungan? Atau sebuah perkahwinan supaya tidak bersendirian? Atau sebuah baitulmuslim untuk sama-sama berjuang di jalan dakwah?

Kesimpulannya, dalam merancang niat juga usah dilupakan. Niat awali lah ia hanya semata-mata kerana Allah. InsyaAllah, pastinya sebuah perancangan yang diniatkan keranaNya akan mendapat rahmat dan berkat dariNya. Jika seandainya perancangan kita itu tidak terjadi, pasti hati kita mudah merasa redha dan tenang menerimanya. InsyaAllah~

Wallahua’lam.

Fitrah Sebuah Kehidupan

Perpisahan.

Apa yang istimewanya perpisahan ini sampaikan terlalu banyak orang bercakap tentangnya? Di mana lebihnya perpisahan ini sehingga banyak airmata gugur kerananya?

Bukankah pertama kali kita dipertemukan oleh Allah swt, kita telah tahu kita akan berpisah? Bahkan sebelum bertemu lagi kita sudah tahu akan fitrah ini. Tapi mengapa?

Mari semua. Mari bayang wajah-wajah orang-orang yang paling kita sayang dan cinta. Senaikan nama-nama mereka si atas satu kertas, dan simpan dalam dompet supaya senang dibawa kemana-mana. Lihat. Nescaya sampai satu ketika, kertas itu akan dilupakan kewujudannya.

Bila diingati semula nanti, hati mungkin akan terusik dek kenangan. Kenangan tentang airmata yang pernah tumpah, tentang senyum yang pernah terukir, tentang cinta yang pernah ada.

Bila diingat semula nanti, kertas itu sudah menjadi rapuh, kekuningan, hampur koyak, dan hati kita tak akan lagi berfikir tentang isinya. Cuma yang harus kita fikirkan – apa kesannya untuk perjalanan hidup kita? Untuk Dunia dan Akhirat kita? Sedikit sekali. Atau mungkin memang tiada…

Resam air.

Di dunia, air bersifat lembut dan menyenangkan. Bila ia mengena tubuh kita, saat kita bangun dari lena dan bersuci, ternyata ia melegakan. Tubuh jadi segar dan hati jadi bersemangat untuk memulakan hidup yang baru.

Di dunia juga, bila kita diuji dengan kesedihan, kita seperti seorang yang terjaga dari tidur. Tubuh yang tidak bermaya, semangat yang pudar, seakan dikejut oleh luahan airmata. Terasa lega bila dapat melepaskan sesuatu yang terpendam tanpa perlu berkata-kata.

Ada orang mengambil semangat dari airmata. Fitrah.

Tidakkan Rasulullah saw mengalirkan airmata di saat kematian kematian anak, isteri, dan bapa saudara Baginda? Fitrah.

Manusia diciptakan lemah dan pelupa, jadi kita selalu berdosa. Atas dasar ini, para ulama tidak malu untuk hidup dengan airmata. Airmata yang mengalir kena pada tempat, tepat pada ayat, lantas membuatkan mereka kuat.

Kita bukan Nabi untuk jadi manusia sempurna. Kita tidak terpelihara dari dosa. Kita tak kuat untuk mengaku begitu tabah dan ego untuk tidak menangis. Kita hanya pendatang biasa yang singgah sebentar di Dunia. Dalam perjalanan ini, kita mungkin bertem dengan pelbagai ragam. Akan ada rasa sayang di setiap tempat yang kita ukirkan. Pada beberapa benda yang berharga menurut pandangan kita, kita akan tumpahkan cinta padanya.antara benda berharga itu adalah manusia.

Klau dilihat dari sudut dunia, semakin kita beri semakin kita akan kekurangan. Seperti gelas yang diminum airnya, ruang-ruang kosong di dalam gelas itu juga akan kurang. Sebelum kita menumpahkan air mata, fikirkan apa urusan kita – Dunia dan Akhirat.

Adakah di Akhirat, ia akan kekal dengan sifat airnya yang tenang dan memadamkan? Mampukah air mata tadi memadamkan api-api neraka jika ia bukan tumpah untuknya? Air hanya berguna jika disimbah untuk memadamkan api.Bukan di semua tempat air memadam dan menenangkan. Ada ketika, air tidak boleh memadamkan bahkan api semakin lahap dan lahab (menjulang). Orang yang terluka dan cedera juga tak boleh terkena air.

Syariat memahami. Lalu memberi kelonggaran untuk menggunakan debu sebagai ganti. Dari sudut mana debu itu nampak bersih, apatahlagi membersihkan? Jauh lagi menghembuskan ketenangan. Lalu untuk apa?

Hikmah Yang Tersirat.

Sepertimana kita tak tahu hakikat debu itu sehingga boleh menggantikan air, kita juga takkan tahu banyak benda. Kita bahkan tak ada kekuatan untuk memahami keperluan diri. Lalu bila Allah sempurnakan sesuatu untuk kita, tak perlu kita membantah.

Mungkin antara hikmahnya, Allah swt ingin kita jadi seorang hamba yang mengaku hamba. Bila disuruh buat, kita mesti taat! Ketahui, dan percaya bahawa kehidupan ini urusan Allah swt.

Perpisahan ini, walau menyedihkan, walau menumpahkan air mata, sama-sama kita berpesan. Jangan sampai kita jadi seperti si jahil yang cuba mempersoal;


“Untuk apa pertemuan, kalau kita ditakdirkan untuk berpisah”

Monday, January 13, 2014

HIKMAH DI SEBALIK SAMBUTAN MAULIDUR RASUL


Pendahuluan
Selami dan jiwailah sambutan Maulidur Rasul
Maulidur Rasul berasal dari perkataan Arab (kelahiran Rasul) di mana ia merupakan hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada Isnin (Dari hadith riwayat Muslim) bertarikh 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571 Masehi. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala (S.W.T). Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulidur Rasul atau Maulid Harta.

Kini sambutan Maulidur Rasul telah memasuki tahun 1435 Hijrah pada 13 Januari 2014 Masehi. Lazimnya pada setiap tahun umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad S.A.W dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam (S.A.W), kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal soleh.

Tokoh Agung Sepanjang Zaman
Rasul dan kekasih pilihan Allah S.W.T
Apabila ditanya siapakah yang disifatkan sebagai tokoh agung yang berpengaruh dalam sejarah peradaban manusia, rata-rata akan memberi jawapan yang bersifat pelbagai berdasarkan kriteria-kriteria yang telah mereka susun dan merasakan sesuai untuk dipenuhi oleh calon yang dinobatkan dengan gelaran sedemikian. Sesetengah bagi kita memilih golongan pemimpin politik atau ketua negara, atau mungkin seorang saintis dan mungkin juga sasterawan malah artis sebagai tokoh yang layak diberikan gelaran sedemikian.

Bagi seorang Muslim, tidak dapat kita tolak kenyataan bahawa tiada tokoh yang paling berpengaruh dalam sejarah perkembangan manusia dulu, kini dan masa hadapan melainkan seorang yang bernama Muhammad bin Abdullah, seorang Rasul dan kekasih pilihan Allah S.W.T. Atas dasar cinta yang mendalam oleh kaum Muslimin, hikmah dan rahsia kelahiran baginda di bumi Mekah terus digali dan diselidiki bukan kerana rasa sangsi atas keperibadian agung ini tetapi atas rasa ingin mendekatkan diri kepada kebenaran.

Maqam Rasullullah di dalam Masjid Narbawi, Madinah
Makam Nabi Muhammad S.A.W di dalam Masjid an-Nabawi, Madinah

Hakikatnya, jawapan sebenar terpilihnya Rasullullah sebagai pembimbing umat manusia adalah rahsia milik Allah (Surah Hud : Ayat 123). Para ulama dan pengkaji fiqh sirah telah mengkaji hikmah di sebalik kelahiran Rasulullah yang menjadi kejutan kepada golongan Yahudi yang selama ini menganggap kehadiran para Nabi hanya di kalangan kaum mereka sahaja. Mekah mempunyai keunikannya tersendiri. Meskipun didiami oleh kelompok-kelompok bangsa Arab yang hidup secara kabilah dan mengamalkan konsep assabiyah, namun di sebalik kehidupan gelap Jahiliyah, masih ada nilai-nilai murni yang terus dipegang erat sebagai tradisi kehidupan.

Hikmah Maulidur Rasul
Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada mereka yang mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul
Terdapat segelintir umat Islam yang keliru apabila kita bertanyakan apakah kaitannya Maulidur Rasul dengan ajaran Islam. Ada yang memberikan pandangan sinis yang menggambarkan seolah-olah ialah satu perayaan keagamaan dan perarakan di kawasan sekitar masjid atau di stadium. Malah yang lebih menyedihkan, ada yang berpendapat ianya sekadar hari untuk mendengar syarahan agama atau majlis perjumpaan sesama umat Islam. Namun begitu, ada juga di kalangan cerdik pandai Islam berfahaman WAHABI bertegas untuk melarang umat Islam mengadakan perayaan pada hari Maulidur Rasul dan hari Israk Mikraj. Semua ini dianggap oleh puak Wahabi sebagai BIDAAH dan perlu dihapus kerana tidak pernah diamalkan oleh nabi sendiri.  Inikah JIWA dan IMAN seorang umat Islam? 
Jesteru itu, marilah kita sama-sama berlapang DADA dan membuka MINDA untuk menghayati apakah hikmah yang tersirat dan tersurat dalam kita merayakan sambutan Maulidur Rasul. Di antara hikmahnya ialah :

1.   Nilai-Nilai Murni
  • Keunikan bangsa Arab dapat dilihat daripada sikap mereka yang amat menyanjungi karya-karya sastera khususnya syair-syair. Daya ingatan mereka yang kuat dalam menghafal syair-syair Arab serta mengingati susur galur keturunan dalam kabilah adalah kelebihan yang dimiliki. Tambahan lagi keberanian mereka telah terbukti melalui persengketaan antara kabilah sehingga membawa kepada peperangan dan pertumpahan darah.
  • Sehinggalah kehadiran Rasulullah S.A.W dengan risalah Islam, nilai-nilai keberanian serta kekuatan mengingat ini diangkat menjadi salah satu sifat yang mulia dan dibersihkan daripada kekotoran kepada kemurnian dan kesucian jiwa. Jiwa-jiwa mereka telah disatukan malah gambaran kehidupan jahiliyah turut dikhabarkan oleh Allah S.W.T dengan firmanNya.
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga).”
(Surah Ali-Imran : Ayat 103)
  • Demikianlah Allah S.W.T menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. Maka lahirlah golongan huffaz yakni penghafaz-penghafaz al-Quran di kalangan mereka dan mereka adalah golongan yang diamanahkan untuk memelihara kesucian dan keharmonian kitab Allah S.W.T seperti mana para sahabatnya. Rasulullah S.A.W bersabda:
“Orang-orang yang mulia di kalangan umatku ialah penghafaz al-Quran. “
(Riwayat al-Tirmizi)
  • Keberanian mereka disalurkan kepada jalan yang lebih baik iaitu dengan tertegaknya konsep jihad, iaitu mencurahkan daya dan tenaga kekuatan dalam usaha mencapai suatu matlamat atau cita-cita mulia dan ideal, iaitu matlamat dan cita-cita Islam serta mendapat keampunan Allah S.W.T, keredaan dan rahmat-Nya dengan mencakupi suatu usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai satu-satu tujuan yang diingini atau mempertahankan sesuatu yang tidak diingini dengan pelbagai cara sama ada alat, ilmu pengetahuan dan sebagainya.
  • Jika dahulu mereka berperang kerana ingin mempertahankan kabilah, sebaliknya konsep peperangan yang dididik oleh baginda telah diikuti oleh mereka untuk mempertahankan ajaran Islam daripada dicerobohi serta memastikan keamanan dan keadilan ditegakkan. Sejarah Islam mencatatkan ketika peperangan Yamamah. Tentera-tentera Islam yang ikut serta dalam peperangan ini, kebanyakan terdiri daripada para sahabat dan para panghafal al-Quran. Dalam peperangan ini telah gugur 70 orang penghafal al-Quran.
  • Bahkan sebelum itu gugur hampir sebanyak itu juga penghafal al-Quran di mana Nabi pada suatu pertempuran di Bir Maunah berhampiran kota Madinah. Ini membuktikan kejayaan Rasulullah mengalihkan pandangan dan jiwa mereka kepada mempertahankan sesuatu yang hak dan menolak kebatilan. Malah, bangsa yang dahulunya tidak mendapat tempat dalam usaha peluasan empayar Persia dan Rom memberi kejutan yang besar dan menggugat golongan raja-raja dan pemerintah yang zalim terhadap rakyatnya ketika itu. Ini diakui oleh Maharaja Heracilus apabila menerima sepucuk surat dari Rasulullah agar beliau adil terhadap rakyat dan menerima Islam sebagai cara hidupnya
2.   Kesucian Bumi Mekah
  • Kelahiran Rasulullah di bumi Mekah adalah satu nikmat dan rahmat Allah s.w.t. dalam menyucikan Kaabah daripada amalan penyembahan berhala. Kaabah yang terletak di tengah-tengah garis bumi seolah-olah seperti sebatang lilin yang diletakkan di tengah-tengah bilik dan cahayanya menerangi segenap penjuru bilik tersebut. Perpaduan begitulah diibaratkan kepada Rasulullah S.A.W, baginda adalah cahaya kebenaran yang menerangi segenap penjuru alam ini dengan kebenaran Islam melalui bimbingan al-Quran dan sunah dan meletakkan Kaabah kembali sebagai titik perpaduan umat untuk menyembah Allah yang satu.
3.   Nabi Akhir Zaman
  • Allah S.W.T telah mengkhabarkan kepada para Nabi sebelumnya tentang kehadiran Nabi terakhir yang akan membawa mesej Islam kembali untuk umat akhir zaman. Nabi Musa dan Nabi Isa A.S adalah di antara nabi-nabi ulul azmi yang telah diberikan pengkhabaran tersebut. Perkara ini telah dijelaskan di dalam al-Quran:
“Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Mariam berkata: “Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama: Ahmad.” Maka ketika dia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!”
(Surah as-Saff : Ayat 6)
4.   Doa Nabi Ibrahim A.S
  • Hikmah dan rahsia di sebalik kelahiran Rasulullah di bumi Mekah juga adalah kerana makbulnya doa Nabi Ibrahim A.S yang memohon agar keturunannya turut diberikan kepada mereka golongan nabi dan rasul. Permintaan ini telah dipenuhi-Nya dengan kelahiran nabi dari keturunan Ismail A.S.
“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: (Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan). Allah berfirman: (Permohonanmu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”
(Surah al-Baqarah : Ayat 124)

Kesimpulan

Nabi Muhammad S.A.W telah disenaraikan sebagai tokoh paling berpengaruh dalam dunia di dalam buku "The Hundred"
Kelahiran dan kewafatan Rasulullah telah memberi kesan yang sangat besar ke atas perkembangan Islam. Baik Muslim dan bukan Islam turut mengakui ketokohan baginda dalam membimbing kehidupan manusia sebagaimana disebutkan oleh tokoh Barat Micheal H. Hart di dalam bukunya, “The Hundred” di mana Nabi Muhammad S.A.W disenaraikan di tempat PERTAMA tokoh yang paling berpengaruh di dunia seperti catatan berikut:  
“Pemilihan Muhammad sebagai tokoh yang paling berpengaruh di dunia mungkin akan mengejutkan para pembaca dan turut akan dipersoalkan, tetapi hanya beliau individu paling berpengaruh di dalam sejarah di kedua-dua bidang keagamaan dan duniawi. Kini selepas empat belas kurun, pengaruhnya masih dapat dirasai. “
(The Hundred, New York: Hart Publishing Company, Inc., 1978, halaman 33.)
Malah pengkritik Islam, George Bernand Shaw mengatakan: “Saya telah mengkaji beliau, seorang tokoh yang hebat. Jauh sekali untuk mengatakan beliau seorang anti-Christ tetapi layak dipanggil penyelamat kemanusiaan (The Genuine of Islam). Sudah masa untuk kita berfikir sejenak, siapakah individu unggul sebagai ikutan dan contoh kehidupan. Beliau dikagumi oleh lawan dan dicintai oleh para sahabat. Kelahiran Rasulullah di bulan Rabiul Awal adalah MESEJ yang perlu diingati tidak sekadar sebagai bahan sejarah tetapi menjadi ikutan buat setiap insan.


 “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”
(Surah al-Qalam : Ayat 4)
Senarai nama tokoh-tokoh berpengaruh di dunia
Berpandukan kepada pengiktirafan di atas terhadap Nabi Muhammad S.A.W berkaitan personaliti dan cara hidupnya maka apa salahnya kita sebagai umat Islam turut sama berbangga dan menjadikan beliau sebagai IDOLA kita di sepanjang waktu dan ketika. SEBARKANLAH maklumat ini untuk dikongsikan bersama demi menyemarakkan lagi kasih KASIH dan SAYANG terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.


MAULIDUR-RASUL: sejarah, hukum dan tujuan sambutannya

Sejarah Sambutan Maulidur-Rasul

Antara bidaah hasanah ialah sambutan Maulidur Rasul lantaran amalan seumpama ini tidak pernah ada pada zaman Nabi dan pada masa selepas baginda. Sambutan ini hanya mula diadakan secara besar-besaran pada awal kurun ketujuh Hijrah dan orang pertama yang melakukannya ialah seorang raja di Irbil (di Iraq) al-Sultan Muzaffarud-Din Abu Sa^id al-Kukibri ibn ^Ali ibn Baktatin ibn Muhammad al-Turkamani (wafat 630 H) dan beliau adalah ipar kepada al-Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang masyhur. Beliau telah mengumpulkan para ulama yang terdiri dari kalangan ahli hadis dan ahli sufi yang benar untuk sambutan Maulidur Rasul. Beliau menyambut Maulid pada setiap tahun dengan sumbangan mata wang dinar dan makanan yang sangat banyak.
 
Sedari itu hingga kini, biasanya sambutan Maulid ini disambut dengan meriah oleh umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia dengan pengisian ceramah, bacaan qasidah yang mengandungi pujian buat Rasulullah, bacaan Maulid, bacaan al-Quran, berselawat dan bersedekah.


Hukum Sambutan Maulidur-Rasul

Antara dalil sambutan Mawlidur-Rasul:
Firman Allah ta^ala; mafhumnya: “Katakanlah dengan anugerah Allah dan rahmat-Nya maka hendaklah mereka bergembira dengan anugerah dan rahmat itu kerana itu lebih baik daripada perkara yang mereka kumpul” [Surah al-Anbiya’, ayat 58].

Sabda Nabi selepas ditanya tentang puasa hari Isnin; mafhumnya: “Itulah hari yang aku diputerakan padanya dan diturunkan wahyu padanya” [Diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan al-Bayhaqi]

Antara ulama muktabar yang menganggap sambutan Maulid ini sebagai bidaah hasanah atau sunnah hasanah ialah:

1) al-Hafiz Ibn Hajar al-^Asqalani iaitu seperti dalam gubahan puisi beliau,
2) al-Hafiz al-Sakhawi iaitu dalam kitab fatwa beliau,
3) al-Hafiz al-Suyuti iaitu dalam kitab beliau Husnu`l-Maqsid fi ^Amali`l-Mawlid,
4) al-Hafiz Ibn Dihyah iaitu dalam kitab Maulid beliau al-Tanwir fi Mawlid al-Bashir al-Nadhir,
5) al-Hafiz al-Shaykh ^AbduLlah al-Harari al-Habashi iaitu dalam kitabnya al-Rawa'ih al-Zakiyyah fi Mawlid Khayri`l-Bariyyah dan ramai lagi.


Tujuan Sambutan Maulidur-Rasul

1) Mengukuhkan hati dan jiwa. Ini berdasarkan firman Allah; mafhumnya: “Dan semua kisah dari rasul-rasul kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya kami teguhkan hatimu” [Surah Hud, ayat 120].

2) Menzahirkan kegembiraan kita terhadap Nabi Muhammad sebagai rahmat untuk sekalian alam kerana Allah taala berfirman; mafhumnya: "Katakanlah (wahai Muhammad) dengan anugerah Allah dan rahmat-Nya, maka hendaklah mereka bergembira dengan anugerah dan rahmat itu kerana ia lebih baik daripada perkara yang mereka himpunkan" [Surah Yunus, ayat 58].


3) Menyuburkan rasa cinta kepada Allah dan Rasulullah. Nabi bersabda ; mafhumnya: “Seseorang di kalangan kamu bukanlah seorang yang beriman sehingga aku menjadi orang lebih dicintai dari dirinya sendiri, anaknya, isterinya dan seluruh manusia” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim].

Thursday, January 9, 2014

Pahala Solat Di Hujung Waktu

http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/4/4f/Prayer_in_Cairo_1865.jpg/350px-Prayer_in_Cairo_1865.jpg



Solat adalah ibadah yang difardukan Allah SWT kepada setiap Muslim dalam waktu tertentu. Ini bermaksud solat tidak sah dan tidak diterima jika dilakukan di luar waktunya. Ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ 103:
 
“Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang wajib atas orang-orang yang beriman yang tertentu waktunya”.
 
Jelas daripada ayat di atas kewajipan solat adalah dalam waktu tertentu. Jika diteliti lebih dalam lagi semua solat sama ada solat fardu atau solat sunat mempunyai waktu tertentu. Tidak ada persoalan solat pada awal waktu dan memang digalakkan untuk solat pada awal waktu tetapi persoalannya bagaimana solat pada akhir waktu. Apakah diterima dan diberi pahala?
 
Setiap waktu solat mempunyai waktu mula dan waktu tamat. Telah sabit kenyataan dalam beberapa hadis yang sahih bahawa Jibril telah datang bertemu Nabi s.a.w selepas solat lima waktu difardukan untuk memberitahu waktu-waktunya serta menetapkan waktu bermula dan waktu akhir setiap solat. Waktu solat itu telah diterangkan oleh Nabi s.a.w kepada umat Islam melalui perkataan dan perbuatan Nabi s.a.w.
 
Sabda Nabi s.a.w : Yang bermaksud, daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA, daripada Nabi s.a.w, Baginda telah ditemui oleh seorang yang bertanya tentang waktu-waktu solat. Tetapi Baginda tidak menjawabnya. Manakala dalam riwayat yang lain pula Baginda bersabda, “Bersolatlah bersama-sama kami”.
 
Lalu baginda menunaikan solat Subuh ketika fajar terbit sedangkan penglihatan orang ramai masih belum dapat mengenali antara satu sama lain. Kemudian Baginda menyuruhnya lagi bersolat Zuhur ketika matahari gelincir. Ada yang berkata, ketika itu waktu tengah hari sedangkan Baginda lebih mengetahuinya daripada mereka.
 
Seterusnya Baginda menyuruh mereka bersama-sama Baginda menunaikan solat Asar ketika matahari masih tinggi. Kemudian disuruhnya lagi, lalu Baginda menunaikan solat Maghrib yang pada ketika itu matahari telah terbenam. Kemudian Baginda menyuruhnya lagi, maka ditunaikan pula solat Isyak ketika syafak hilang daripada penglihatan.
 
Pada keesokan harinya, Baginda telah melewatkan solat Subuh sehingga ada yang mengatakan selepas solat tersebut, matahari telah terbit atau hampir terbit. Kemudian Baginda melewatkan solat Zuhur hingga hampir ke waktu Asar sebagaimana semalam. Kemudian Baginda melewatkan solat Asar sehingga ada yang mengatakan selepas solat tersebut, warna matahari kemerah-merahan.
 
Seterusnya Baginda melewatkan pula solat Maghrib, hingga syafak hampir tidak kelihatan lagi. Kemudian Baginda melewatkan solat Isyak sehingga lewat tengah malam. Apabila menjelang pagi, Baginda memanggil orang tersebut lalu bersabda, “Waktu solat ialah di antara dua masa ini”.
 
Terdapat juga beberapa hadis yang menerangkan sebahagian perkara yang umum atau yang menambah penerangannya sebagaimana yang dapat dilihat dalam perincian waktu-waktu setiap solat seperti yang berikut:
 
Apabila Nabi s.a.w berkata “Waktu solat ialah di antara dua masa ini” ia menunjukkan bahawa solat di antara dua waktu itu diterima oleh Allah SWT dan diberikan pahala. Cuma solat pada awal waktu amat digalakkan daripada solat pada akhir waktu.
 
Jangan sengaja lengahkan solat
 
Tidak patut seseorang Muslim sengaja melengah-lengahkannya hingga ke akhir waktu dengan alasan tempohnya panjang. Ini kerana perbuatan tersebut mungkin menyebabkan waktunya terluput malah sikap cuai ini mungkin menyebabkan solat terus tertinggal. Sebenarnya semua solat, sunat disegerakan pada awal waktunya. Ketika ditanya tentang amalan yang afdal Nabi s.a.w bersabda:
 
Yang bermaksud : “Menunaikan solat pada awal waktunya.”
 
Seseorang yang melakukan sebahagian solatnya dalam waktu dan sebahagian yang lainnya di luar waktu jika dapat menyempurnakan satu rakaat dalam waktunya maka keseluruhan solat tersebut dikira qada’.
 
Hal ini berdasarkan hadis : Yang bermaksud : “daripada Abu Hurairah r.a  Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat Subuh sebelum matahari terbit maka dia telah dapat menunaikan solat Subuh itu dan sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat Asar sebelum matahari terbenam maka dia telah dapat menunaikan solat Asar itu. Dan sabdanya lagi, sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat dalam waktunya maka dia telah dapat menunaikan solat itu.”

Get this widget here
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Copyright @ 2013 UNTUK SEMUA.